HARRIF (tengah) ketika menjuarai perlumbaan 1 Kriterium Selangor pada 27 November lalu. FOTO Instagram harrif_saleh
HARRIF (tengah) ketika menjuarai perlumbaan 1 Kriterium Selangor pada 27 November lalu. FOTO Instagram harrif_saleh
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Ramai dalam kalangan peminat dan warganet tertanya-tanya kenapa dua bintang pasukan Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh dan Mohd Zamri Saleh tidak beraksi pada perlumbaan berbasikal Tour of Thailand yang berakhir hari ini.

Pelumba dua beradik itu sebenarnya dijangkiti virus Covid-19 baru-baru ini hingga menyebabkan pengurusan TSG terpaksa meninggalkan mereka di Kuala Terengganu.

Harrif, 33, mengesahkan dia mengalami jangkitan Covid-19 dan hanya pulih pada 15 November lalu.

"Memang rasa kecewa sebab kami sudah berlatih lama untuk turun beraksi pada Tour of Thailand. Rasa rugi pun ada tapi nak buat macam mana terpaksa terima semua ini.

"Saya pulih daripada Covid-19 pada 15 November lalu tapi kesannya hingga sekarang masih ada lagi. Belum pulih 100 peratus. Hari itu deria rasa semua tak ada, ini kira baru nak pulih sikit-sikit. Abang saya pun kena," katanya.

Harrif pernah menyertai Tour of Thailand sebanyak lima kali bersama TSG dari 2013-2017 dengan pencapaian terbaik keseluruhan di tangga ke-38 pada 2016. Ketika itu juga dia menjuarai dua peringkat perlumbaan - peringkat ketiga dan keempat.

Bagaimanapun, tanpa kelibat kapten Zamri dan Harrif, TSG tetap mempamerkan persembahan mengagumkan pada Tour of Thailand membabitkan enam peringkat itu apabila pelumba profesional dari Mongolia, Jambaljamts Sainbayar muncul juara keseluruhan sekali gus menyarung jersi kuning.

TSG juga muncul naib juara keseluruhan kategori berpasukan selepas tewas di tangan pasukan Bike Aid dari Jerman.

Bagaimanapun, seolah-olah melepas geram Harrif bertanding pada kejohanan Siri Kriterium Selangor di Taman Tasik Shah Alam pada 27 November dan Sabtu lalu.

Pada perlumbaan pertama, dia muncul juara dengan masa 26 minit 18 saat mengatasi pelumba PDRM, Muhammad Elmi Jumari dan Zulhelmi Zainal dari Majlis Sukan Negara.

Pada perlumbaan kedua Sabtu lalu, Harrif menduduki tangga ketiga ketika tiga pelumba TSG menguasai kedudukan 1-2-3 apabila Mohd Shahrul Mat Amin muncul juara dengan masa 24:57s dengan Zamri di tangga kedua.

Dia dijangka menyertai perlumbaan akhir Siri Kriterium Selangor pada 18 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 6:21 PM