HARRIF lega dapat menamatkan perlumbaan di Arab Saudi. FOTO Instagram harrif_saleh
HARRIF lega dapat menamatkan perlumbaan di Arab Saudi. FOTO Instagram harrif_saleh
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh pasti tidak dapat melupakan pengalamannya berlumba dalam ribut pasir pada perlumbaan lima peringkat Jelajah Arab Saudi yang berakhir semalam.

Bergelut dengan ribut pasir sepanjang perlumbaan, pelumba berusia 33 tahun itu bagaimanapun berjaya menduduki tangga ke-17 pada perlumbaan peringkat kelima dan terakhir selepas menghuni tangga ke-18 pada peringkat pertama, dua pencapaian terbaiknya pada jelajah itu.

"Berlumba dalam ribut pasir. Jelajah Saudi ni setiap peringkat amat payah... dari zero km sampai ke habis berlumba dalam keadaan ribut pasir. Alhamdulillah saya dapat juga menghabiskan perlumbaan ini," tulisnya dalam perkongsian di laman Instagram.

"Hari-hari berlumba dalam ribut pasir tapi saya kena kuatkan juga sebagai latihan dalam perlumbaan," katanya yang menamatkan perlumbaan di tangga ke-80 keseluruhan.

Pelumba muda TSG, Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff muncul pelumba terbaik pasukan itu di tangga ke-63 keseluruhan diikuti Mohd Shahrul Mat Amin (77), Harrif (80), pelumba TSG dari Belanda, Jeroen Meijer (82) dan Muhamad Afiq Huznie Othman (85).

TSG juga hanya mampu menduduki tangga ke-14 keseluruhan daripada 15 pasukan yang bertanding dengan masa 61 jam 19 minit.

Harrif, yang pernah menang tiga peringkat pada Le Tour de Langkawi berkata, dia turut teruja kerana sepanjang kariernya ia kali pertama dia berpeluang berlumba dengan pelumba pasukan bertaraf World Tour.

"Sepanjang karier saya ssebagai pelumba basikal... hari ini dalam sejarah saya dapat berlumba dengan pelumba World Tour dan semua pelumba di sini ramai pelumba pecut bertaraf dunia belaka. Saya takkan lupakan pengalaman yang amat berguna ini," katanya.

Harrif juga teruja kerana berpeluang bertemu dan berkayuh dengan pelumba ternama UAE Team Emirates, Rui Costa dari Portugal.

"Naik bukit dengan @ruicostacyclist maren. Biase kite tengok dia kayuh dalam tv je... maren dia ajok suruh ikut dia tapi dia duk depan ah, saya kat belakang ah sapa penamat," katanya sebaik selesai menamatkan peringkat kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Februari 2022 @ 2:17 PM