AZROY berdepan hukuman penggantungan empat tahun.
AZROY berdepan hukuman penggantungan empat tahun.
Saiful Affendy Sapran


Bangi: Panel Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) akan membuat keputusan secara telus dan terperinci berhubung kes doping membabitkan dua atlet angkat berat negara, Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad dan Muhammad Ikram Haikal Muhammad Zuari.

Pengarah Adamas, Azura Bidin berkata, ketika ini panel yang dilantik untuk sesi pendengaran itu akan meneliti segala hujah kedua-dua atlet berkenaan.

Azroy atlet pertama yang dipanggil untuk memberi keterangan Sabtu lalu manakala Muhammad Ikram akan menghadiri satu lagi sesi pendengaran minggu depan.

"Selepas mendengar semua hujah daripada atlet berkenaan selain soalan ditanya kepada mereka, jawatankuasa ini akan duduk bersidang untuk membuat keputusan. "Kami diberi masa sehingga Disember untuk keluarkan keputusan. Seorang lagi atlet kita akan diselesaikan dalam minggu depan. Kalau cepat dapat keputusan, maka kita akan umumkan.

"Tiga panel yang dilantik ini mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing termasuk perundangan dan perubatan. Mereka juga tidak terikat dengan mana-mana ekosistem sukan," katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Seminar Anti-Doping Kebangsaan yang disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, hari ini.

Kedua-dua atlet itu sebelum ini didapati positif menggunakan bahan terlarang anabolic steroid pada satu ujian yang berlangsung Mei lalu.

Azroy memberi penjelasan terperinci berhubung bagaimana dia mengambil bahan terlarang itu dan memohon supaya panel Adamas dapat meringankan hukuman yang bakal dikenakan.

Kedua-duanya berdepan hukuman maksimum empat tahun jika didapati bersalah dan ini bermakna Azroy akan terlepas peluang mempertahankan emas yang dimenanginya pada Sukan Komanwel Gold Coast 2018 di Birmingham tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 10:23 PM