AZROY Hazalwafie didapati positif menggunakan bahan terlarang anabolic steroid pada satu ujian yang berlangsung Mei lalu. FOTO NSTP
AZROY Hazalwafie didapati positif menggunakan bahan terlarang anabolic steroid pada satu ujian yang berlangsung Mei lalu. FOTO NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Atlet angkat berat negara, Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad selesai memberi keterangan pada sesi pendengaran kes dopingnya bersama Agensi Anti Doping Malaysia (Adamas), hari ini.

Turut memberi keterangan pada sesi sama adalah atlet Terengganu yang baru diserapkan ke dalam skuad kebangsaan, Muhammad Ikram Haikal Muhammad Zuari.

Kedua-duanya sebelum ini didapati positif menggunakan bahan terlarang anabolic steroid pada satu ujian yang berlangsung Mei lalu.

Azroy memberi penjelasan terperinci berhubung bagaimana dia mengambil bahan terlarang itu dan memohon supaya Adamas dapat meringankan hukuman yang bakal dikenakan kepadanya.

Azroy dan Muhammad Ikram berdepan hukuman maksimum empat tahun jika didapati bersalah dan ini bermakna Azroy akan terlepas peluang mempertahankan emas yang dimenanginya pada Sukan Komanwel Gold Coast 2018 di Birmingham tahun depan.

"Saya harap hukuman yang dikenakan kurang daripada empat tahun untuk saya buat persiapan bagi menghadapi kejohanan akan datang pada 2024.

"Sukan Komanwel 2022 mungkin bukan rezeki saya, saya reda. Bagi saya sekarang ini saya perlukan semangat daripada kawan-kawan untuk meneruskan kerjaya dalam sukan ini," katanya yang dipetik menerusi temu bual bersama Astro Arena selepas tamat sesi pendengaran, hari ini.

Pengarah Adamas, Azura Abidin menerusi laporan sebelum ini berkata keputusan terhadap dua atlet angkat berat negara itu hanya akan diketahui dalam tempoh dua bulan lagi.

Kes berkenaan membawa kepada pembubaran skuad kebangsaan negara dan kini sedang berlangsung pemilihan skuad baru yang berlangsung di Kuala Rompin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 7:21 PM