ZOLKPLES Embong. FOTO Bernama
ZOLKPLES Embong. FOTO Bernama
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: "Arwah (Datuk Seri Zolkples Embong) ada maklum kepada saya baru-baru ini nak balik ke Dungun kerana terlalu rindu dengan keluarga sekiranya kerajaan membenarkan rentas negeri kerana sudah lebih dua tahun tidak pulang ke kampung.

"Arwah juga teringin untuk menikmati hidangan ayam kampung masak pedas kerana sudah lama tidak makan masakan kegemarannya itu.

"Namun hasrat arwah yang masih bujang itu untuk pulang ke rumah saya di Durian Mas, Dungun tidak kesampaian, malah saya tidak menyangka arwah pulang sebagai jenazah," ujar abang Allahyarham Zolkples, Ghazalli Embong, 69.

Beliau bagaimanapun menerima berita kematian adiknya itu dengan hati yang terbuka sambil mendoakan arwah di tempatkan dalam kalangan insan beriman biarpun tidak sempat untuk menatap wajah adiknya ketika bernyawa selain menyediakan hidangan kegemaran arwah.

Mengulas lanjut, Ghazalli berkata, arwah yang juga anak keenam daripada tujuh adik-beradik adalah seorang yang tegas dan menepati masa.

Bekas kakitangan TDMB itu juga menjelaskan arwah adiknya itu seorang yang pemurah dan suka menderma bukan sahaja kepada keluarga tapi kepada orang ramai.

"Daripada pengurusan masa arwah begitu jaga, malah arwah juga seorang yang tegas namun pendiam dalam keluarga, tapi dia seorang yang pemurah.

"Dalam kalangan adik-beradik, arwah seorang yang paling jaga dalam percakapan selain cukup disenangi keluarga, ketika arwah ibu bapa masih ada, arwah Zolkples ada menyatakan untuk berumah tangga dengan gadis pilihannya, namun kisah selanjutnya saya tidak pasti.

"Ketika kecil kami menetap di kampung Pak Sabah, Dungun, ketika itu arwah belajar di Sekolah Kebangsaan Laki-Laki Dungun sebelum melanjutkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Intan Zaharah Dungun, kemudian ke Sekolah Menengah Sains Alam Shah Kuala Lumpur, sebelum belajar di Universiti Kebangsaan Malayasia (UKM)," katanya.

Pagi tadi polis menemui mayat bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples di rumahnya di Pandan Indah, Selangor sebelum jenazahnya di bawa ke Masjid Sri Petaling Jaya untuk pengurusan dan solat sebelum dibawa pulang ke Dungun untuk dikebumikan di kampung halamannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 7:45 PM