PEMAIN Eropah bergambar bersama trofi Piala Solheim di Toledo, Ohio.
PEMAIN Eropah bergambar bersama trofi Piala Solheim di Toledo, Ohio.
AFP

New York: Eropah yang diperkuatkan pemain rookie, Matilda Castren dan Leona Maguire menewaskan Amerika Syarikat (AS) 15-13 untuk mempertahankan golf Piala Solheim awal pagi tadi.

Pemain Finland, Matilda melakukan putt di lubang ke-18 bagi memastikan kemenangan ke atas pemain AS Lizette Salas sekali gus membolehkan Eropah mengekalkan trofi dimenangi di Gleneagles, Scotland pada 2019.

Mereka yang beraksi pada hari terakhir kejohanan dua tahun sekali membabitkan wanita AS dan Eropah itu memerlukan lima daripada 12 mata untuk meraih 14 mata yang diperlukan bagi membawa balik piala itu dari Kelab Inverness di Ohio.

Pemain Ireland, Leona seperti Matilda yang muncul pemain pertama dari negara mereka yang beraksi di Piala Solheim Cup memastikan mata pertama Eropah dengan kemenangan 5&4 ke atas Jennifer Kupcho.

"Sangat bangga berjaya mendapatkan 4 1/2 mata untuk Eropah,'' kata Leona yang muncul hanya pemain ketiga meraih 4 1/2 mata atau lebih di Piala Solheim.

"Saya cuba melakukan permulaan yang baik dan eagle di lubang kedua, tiada yang lebih baik daripada itu,'' katanya.

Pemain Sweden, Madelene Sagstrom yang terbabit dengan peraturan kontroversi pada hari pertama meraih mata seterusnya buat Eropah dengan kemenangan 3&2 ke atas Ally Ewing. Pemain Perancis, Celine Boutier menewaskan Mina Harigae 5&4 manakala persaingan sengit di antara Anna Nordqvist dan pemain AS, Lexi Thompson menyaksikan kedua-duanya terikat sekali gus menghadiahkan mata pertama buat AS.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 11:08 AM