REAKSI Alcaraz selepas memperolehi mata. FOTO USA TODAY Sports
REAKSI Alcaraz selepas memperolehi mata. FOTO USA TODAY Sports
AFP

Toronto: Carlos Alcaraz memenangi perlawanan ATP ke-13 berturut-turut ketika pemain nombor satu dunia itu memulakan aksi di Toronto Masters dengan menewaskan Ben Shelton 6-3, 7-6 (7/3), hari ini.

Pertemuan kali kedua memihak kepada pemain berusia 20 tahun dari Sepanyol itu, yang memburu kejayaan di Kanada selepas muncul juara berturut-turut di Queen's Club dan Wimbledon.

Alcaraz kini mempunyai rekod 48-4 pada musim ini ketika dia sedang berusaha untuk mempertahankan gelaran Terbuka AS.

"Dia lebih agresif daripada saya sejak awal lagi. Saya cuba memperkemaskan permainan dan mencari rentak tetapi saya menghadapi masalah.

"Apapun, saya gembira dapat mara ke pusingan seterusnya. Perlawanan seperti ini membantu untuk kekal fokus. Saya perlu bermain lebih baik bermula sekarang," kata Alcaraz.

Sementara itu, pemain veteran Perancis, Gael Monfils mengejutkan pilihan keempat, Stefanos Tsitsipas apabila berjaya meraih kemenangan straight set sekali gus mara ke pusingan 16 terakhir.

Pemain berusia 36 tahun dari Paris itu yang kini menduduki ranking ke-276 dunia, mengatasi Tsitsipas 6-4, 6-3 pada perlawanan kurang dari 90 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2023 @ 9:59 AM