ALCARAZ bersama trofi Terbuka AS. FOTO AFP
ALCARAZ bersama trofi Terbuka AS. FOTO AFP
AFP

New York: Pemain remaja Sepanyol, Carlos Alcaraz meraih gelaran Grand Slam pertamanya selepas menjuarai Terbuka Amerika Syarikat (AS) dan muncul pemain termuda menduduki ranking nombor satu dunia.

Pemain berusia 19 tahun itu menang 6-4, 2-6, 7-6 (7/1), 6-3 ke atas Casper Ruud dari Norway dalam aksi final awal pagi tadi.

Alcaraz yang turut menjadi pemain termuda menjuarai Grand Slam sejak Rafael Nadal di Terbuka Perancis 2005 mempamerkan permainan mantap dengan 55 'winners' dan 14 ace.

Dia juga juara termuda di New York sejak Pete Sampras pada 1990.

"Ini sesuatu yang saya impikan sejak kecil, menjadi pemain nombor satu dunia dan menjadi juara Grand Slam," kata Alcaraz.

"Saya bekerja sangat keras untuk ini. Sukar untuk saya bercakap sekarang, sangat emosi. Sudah lama saya berusaha untuk kejayaan ini. Saya baru 19 tahun dan semua keputusan turut mendapat pandangan ibu bapa dan pasukan. Ia sangat istimewa bagi saya."

Nadal pantas mengucapkan tahniah kepada pemain itu yang dianggap bakal mewarisi kehebatannya.

"Syabas @carlosalcaraz dengan gelaran Grand Slam pertama dan ranking nombor 1 dan saya pasti lebih banyak kejayaan akan anda capai," kata pemenang 22 kali Slam itu dalam Twitternya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2022 @ 8:32 AM