KHABIB bersama Tyson. FOTO Agensi
KHABIB bersama Tyson. FOTO Agensi
Agensi

London: Legenda UFC, Khabib Nurmagomedov menolak tawaran ganjaran AS$100 juta (RM422 juta) untuk menentang Floyd Mayweather dan memberitahu Mike Tyson: 'Saya tidak akan bertarung untuk duit'.

Khabib bersara pada Oktober tahun lalu selepas kematian jurulatih yang juga bapanya, Abdulmanap pada Julai lalu.

Sejak itu dia menolak sebarang usaha memujuknya kembali walaupun ditawarkan habuan lumayan untuk menentang Mayweather di Timur Tengah.

Khabib, bekas juara lightweight UFC yang tak pernah kalah menegaskan wang tidak akan menjadikan dia tertarik kembali ke gelanggang.

Katanya di podcast Tyson: "Saya tak mahu komuniti tinju kecewa dengan saya. Ya sudah tentu wang juga penting. Tetapi saya bukan bertarung kerana wang. Wang memang baik tetapi pada kebanyakan masa ia adalah buruk.

"Wang membawa anda ke situasi tak pernah jangka dan anda akan hilang kawalan apabila memiliki banyak wang.

"Ia agak bahaya. Dalam hal ini, saya tidak akan kembali untuk membuat duit tetapi demi legasi.''

Khabib, 32, menggantung sarung tangannya selepas menewaskan Justin Gaethje dan berkata keputusannya bersara sebagai menunai janji kepada ibunya.

Bintang Rusia itu ditawarkan habuan lumayan untuk menentang Georges St-Pierre, 40, yang juga pertarungan impian bapanya namun tetap gagal mempengaruhi pendirian Khabib.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 3:04 PM