Mamat (kiri) melihat petugas TH sedang memakaikan gelang nama kepada Minah (kanan) di ruang menunggu di LTSM, semalam. FOTO BAHAROM BAKAR
Mamat (kiri) melihat petugas TH sedang memakaikan gelang nama kepada Minah (kanan) di ruang menunggu di LTSM, semalam. FOTO BAHAROM BAKAR
Baharom Bakar


Kuala Nerus: Penantian lebih 18 tahun pasangan suami isteri termasuk enam kali membuat rayuan untuk ke tanah suci bagi menunaikan ibadah haji akhirnya termakbul tahun ini.

Mamat Embong, 74, dan isterinya, Minah Mohamad, 71, dari Kampung Seberang Marang, di sini, mendaftar untuk menunaikan ibadah haji ketika berusia 56 tahun.

Bagaimanapun, katanya, dia dan isteri setiap tahun bermula 2018 ke pejabat Tabung Haji (TH) di daerah Marang membuat rayuan bagi menunaikan haji.

"Tetapi keputusan rayuan kami ditolak mungkin disebabkan tiada kekosongan dan belum tiba giliran kami untuk ke Makkah menunaikan ibadah haji," katanya.

Mamat yang lebih mesra dengan panggilan Pok Long dan Minah atau lebih mesra dengan panggilan Mok Long mengakui sebanyak enam kali membuat rayuan bagi menunaikan haji.

Pasangan suami isteri ini antara 142 daripada 2,180 bakal jemaah haji dari Terengganu terpilih tahun ini.

TH negeri menyediakan lapan penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) untuk membawa 1,136 daripada 2,180 orang yang terpilih menunaikan ibadah haji ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pok Long mengakui terkejut apabila kedatangannya bersama Mok Long ke pejabat TH pertengahan Februari lalu untuk membuat rayuan dimaklumkan terpilih menunaikan ibadah haji pada musim ini.

Terkejut dan menganggap petugas TH itu hanya bergurau, Pok Long beberapa kali meminta petugas TH membuat semakan tetapi diyakinkan bahawa namanya sememangnya terpilih menjadi tetamu Allah musim ini.

"Selepas dimaklumkan petugas TH kami terpilih menunaikan ibadah haji, tanpa disedari air mata kegembiraan menitis kerana impian ditunggu sejak 18 tahun lalu menjadi kenyataan.

"Kami terus ke klinik swasta untuk mendapatkan peperiksaan kesihatan, selain membuat pelbagai persiapan termasuk menghadiri kursus haji dianjurkan TH," katanya.

Pok Long mengakui sepanjang tempoh menunggu dan berulang-alik ke pejabat TH untuk membuat proses rayuan, dia ada dihubungi beberapa individu yang mendakwa daripada syarikat pengurusan haji menawarkan perkhidmatan memasukkan namanya bagi menunaikan haji.

"Anak-anak dan saudara mara menasihatkan tidak terpedaya dengan tawaran itu serta meminta kami berurusan dengan TH," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2024 @ 4:29 PM