Georges St-Pierre (kiri) sedia berdepan Khabib. FOTO Agensi
Georges St-Pierre (kiri) sedia berdepan Khabib. FOTO Agensi
Agensi

GEORGES St-Pierre (GSP) bersedia keluar daripada persaraannya jika UFC membuat tawaran yang "sukar ditolak".

Ia berikutan juara lightweight yang tidak pernah ditewaskan, Khabib Nurmagomedov, 31, mengumumkan dia mahu berdepan legenda welterweight itu selepas menentang Justin Gaethje, 31.

GSP tidak bertarung sejak 2017, apabila dia menang kejuaraan middleweight berdepan Michael Bisping namun dia secara rasmi bersara pada tahun lalu.

Mengakui spekulasi perlawanan tumpuan antara atlet berusia 39 tahun dan Khabib, St-Pierre bersedia untuk melakukan kemunculan semula.

Dia memberitahu saluran Kanada, RDS : "Saya masih berada pada tahap terbaik, bukan kerana saya mempunyai perlawanan akan datang tetapi kerana saya suka berada pada tahap ini.

"Namun saya bukan berada pada prestasi untuk bertarung. Jika saya perlu bertarung, saya harus menyertai kem latihan.

"Saya baharu sahaja diiktiraf dalam Hall of Fame, saya sudah bersara dan saya masih dalam keadaan baik.

"Jika UFC mempunyai sesuatu iaitu tawaran yang sukar saya lepaskan, mereka cuma perlu hubungi saya dan mereka juga tahu di mana mahu mencari saya."

Khabib mendedahkan perancangan untuk mempertahankan kejuaraannya berdepan Gaethje pada Oktober sebelum berdepan St Pierre pada April depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 11:10 AM