KHABIB pegang janji kepada ibunya.
KHABIB pegang janji kepada ibunya.
Agensi

London: Khabib Nurmagomedov menolak tawaran $100 juta (RM412 juta) untuk keluar daripada persaraan dan menentang Floyd Mayweather di gelanggang tinju, menurut pengurusnya, Ali Abdelaziz.

Khabib, 32, mengumumkan persaraannya daripada UFC pada Oktober lalu selepas menewaskan Justin Gaethje sebelum ketua UFC, Dana White mengaku kalah dalam memujuk kembali jaguh tak pernah kalah itu bulan lalu.

Menurut Abdelaziz, ikon UFC itu menolak tawaran lumayan sembilan digit daripada legenda tinju demi prinsip dan janji kepada ibunya.

Abdelaziz turut mendedahkan petarung dari Dagestan itu turut menolak tawaran Georges St-Pierre untuk bertarung di oktagon, pertarungan yang dianggap oleh bapa Khabib sebagai pertarungan impian sebelum dia meninggal dunia tahun lalu.

''Dua minggu lalu atau 10 hari lalu, Dana White menghubungi saya,'' kata Abdelaziz dalam Hotboxin' bersama Mike Tyson. ''Katanya, Georges St-Pierre berminat menentang Khabib dalam pertarungan tanpa gelaran."

''Kami memang menunggu Georges. Saya sukakannya. Dia rakan saya dan kami tunggunya selama empat atau lima tahun. Saya datang, saya tak datang. Sekarang, (St-Pierre) kata, "Hei, Khabib sudah bersara. Saya juga bersara. Apa kata kita kembali dan bertarung sekarang?"

''Tetapi anda tahu, Khabib ditawarkan $100 juta selepas bersara untuk menentang Floyd Mayweather,'' kata Abdelaziz.

'$100 juta. Anda boleh tanya Floyd dan sesiapa sahaja. Khabib kata "Tidak, saya bersara. Saya beritahu ibu, saya sudah bersara. Itu janji saya. Jika ibu suruh saya kembali bertarung, mungkin saya akan kembali tetapi pada masa sekarang dia tidak mahu saya bertarung kembali.''

Mayweather terkenal dengan pertarungannya menentang musuh ketat Khabib, Conor McGregor pada 2017 yang dimenangi Mayweather menerusi TKO pada pusingan ke-10 di T-Mobile Arena, Nevada.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 2:25 PM