AZIZULHASNI meraih perak acara keirin. FOTO Bernama
AZIZULHASNI meraih perak acara keirin. FOTO Bernama
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kagum dengan semangat perjuangan kental yang ditunjukkan pelumba berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang yang merangkul pingat perak acara keirin pada temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun, semalam.

Walaupun sasaran awal emas terlepas, beliau mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada anak jati Kampung Nibong Stesen, Dungun, Terengganu itu yang berjaya mengharumkan nama negara dan Terengganu di persada dunia.

Pada masa sama, Dr Ahmad Samsuri turut mengajak seluruh rakyat negara menitipkan doa agar bapa wira negara itu, Awang@Muda Embong, 72 yang kini terlantar akibat serangan strok semoga cepat sembuh.

"Syabas buat Datuk Azizulhasni yang berjaya menghadiahkan pingat perak untuk negara, terima kasih kerana mengharumkan nama Malaysia dan Terengganu di pentas sukan antarabangsa.

"Mohon doakan kesembuhan ayah beliau yang diserang mild stroke, Insya-Allah," tulisnya dalam laman Instagramnya semalam.

Bapa Jijoe yang juga peminat setia sukan berbasikal hanya menyaksikan anaknya itu melakukan kayuhan bertenaga melalui telefon pintar kerana sukar bergerak akibat sakit yang dihidapinya itu.

Semalam bendera Malaysia berkibar megah di Velodrom Izu, Tokyo selepas pelumba sensasi negara yang digelar 'The Pocket Rocketman' itu melakukan kayuhan padu untuk memburu perak dengan mengetepikan pelumba Belanda, Harrie Lavreysen yang meraih pingat gangsa manakala emas milik pelumba Britain, Jason Kenny.

Kejayaan itu sekali gus berjaya memperbaiki rekod empat tahun lalu dalam temasya Sukan Olimpik 2016 di Rio apabila pelumba berusia 33 tahun itu meraih gangsa juga dalam acara keirin.

Terdahulu kerajaan negeri bakal memberikan habuan bersesuaian kepada atlet berusia 33 tahun itu atas pengorbanannya buat negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 1:08 PM