Chris Hoy (kiri) anggap kejayaan berbaloi buat Azizul. FOTO fail HM/dailyrecord UK
Chris Hoy (kiri) anggap kejayaan berbaloi buat Azizul. FOTO fail HM/dailyrecord UK
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kejayaan jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang meraih pingat emas dan muncul juara dunia acara Keirin di Hong Kong Velodrome Park malam tadi, mendapat pujian pelbagai lapisan rakyat Malaysia.

Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mengucapkan tahniah kepada Mohd Azizulhasni atas pencapaiannya itu.

Begitu juga bekas pencabar dan idola beliau, Sir Chris Hoy dari Great Britain yang turut mengucapkan tahniah kepada Mohd Azizulhasni, yang juga terkenal dengan jolokan 'The Pocket Rocketman'.

Hoy, yang mewakili Great Britain pada Sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia, serta Scotland di Sukan Komanwel, dalam Twitter beliau, berkata beliau kagum dan gembira dengan pencapaian pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu.

"Kemenangan yang sangat bermakna dan berbaloi. Bertahun-tahun kami terbabit dalam persaingan sengit! Bravo dan berbanggalah memakai jersi pelangi @AzizulAWANG," kata Hoy dalam akuan Twitter beliau.

Hoy merupakan juara dunia sebanyak 11 kali dan juara Olimpik enam kali. Kejayaannya meraih tujuh pingat Olimpik - enam emas dan satu perak, menjadikan Hoy adalah pelumba berbasikal kedua paling cemerlang dalam Sukan Olimpik.

Mohd Azizulhasni menampilkan kayuhan bertenaga untuk meraih pingat emas pertama Malaysia pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI di Hong Kong, semalam.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 itu berdepan tentangan sengit daripada lima pelumba lain, sebelum melintasi garisan penamat untuk meraih pingat emas dalam perlumbaan yang berlangsung di Hong Kong Velodrome Park.

Pelumba Colombia, Fabian Hernando Puerta Zapata memenangi pingat perak, manakala gangsa milik Tomas Babek dari Republik Czech,

Untuk rekod, Mohd Azizulhasni hanya memperoleh pingat perak pada 2010 di Denmark, selain memenangi gangsa, dua kali - di Perancis pada 2015 dan 2016 di United Kingdom dalam acara keirin.

Pelumba kelahiran Terengganu itu juga memenangi pingat perak dalam acara pecut pada 2009 di Poland.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2017 @ 6:57 PM