Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Kejayaan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang meraih pingat perak acara keirin pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo pada 8 Ogos lalu mendapat pengiktirafan apabila kerajaan negeri mengumumkan pemberian insentif berjumlah RM350,000.

Azizulhasni menerima rumah kediaman setingkat bernilai RM300,000 di Dungun dan wang RM50,000 pada Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang disampaikan Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, di Kediaman Seri Iman di sini, hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, kemenangan atlet kelahiran Dungun itu bukan sahaja membanggakan negara malah Terengganu, sekali gus menjadi satu inspirasi kepada individu lain.

"Kejayaan ini membuktikan bahawa kita boleh mempunyai apa jua cita-cita (namun) apa yang penting, usaha dan kerja keras serta sokongan daripada kerajaan.

"Tentunya penghargaan kerajaan negeri kepada Datuk Azizulhasni tidak dapat menebus keringat dan susah payah beliau tetapi rakyat Terengganu dan kerajaan negeri berharap, beliau dapat terus meningkatkan pencapaian seterusnya mendapat pingat emas pertama negara di sukan olimpik tiga tahun lagi.

"Insya Allah, selepas ini, apa juga keperluan kesukanan yang diperlukan beliau dan rakan-rakan atlet lain, kerajaan negeri tidak akan lokek dan akan terus membantu," katanya.

AHMAD Samsuri (dua, kiri) menyampaikan insentif kepada Azizulhasni selepas berjaya memenangi pingat perak dalam acara keirin lelaki pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 ketika ditemui di Kediaman Seri Iman. FOTO Ghazali Kori
AHMAD Samsuri (dua, kiri) menyampaikan insentif kepada Azizulhasni selepas berjaya memenangi pingat perak dalam acara keirin lelaki pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 ketika ditemui di Kediaman Seri Iman. FOTO Ghazali Kori

Sementara itu, Azizulhasni bersyukur dan berbesar hati dengan insentif diberikan kerajaan negeri.

Katanya, ia melonjakkan semangatnya untuk lebih berusaha keras termasuk sebagai permulaan persiapan menghadapi temasya Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

Kata beliau, temasya sukan itu mungkin akan menjadi penampilan terakhirnya sebelum bersara bagi memberi ruang kepada atlet muda mengetuai cabaran skuad berbasikal negara.

"Selepas membuat keputusan tidak beraksi di Kejohanan Dunia pada Oktober ini, fokus saya adalah menghadapi Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun depan.

"Misi seterusnya adalah Sukan Olimpik 2024. Meraih pingat gangsa di Rio, perak di Tokyo, saya mahu pergi untuk emas dan saya rasa tidak ada apa-apa masalah daripada segi persiapan sebab saya ada negeri Terengganu yang sentiasa memberi sokongan.

"Saya harap semua ini akan menjadi motivasi untuk atlet negeri ini, kita mahu lebih ramai atlet dari Terengganu berjaya ke peringkat antarabangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 3:41 PM