LEGENDA angkat berat Jepun, Yoshinobu Miyake menyaksikan Hiromi gagal menang pingat acara 49kg wanita di Tokyo 2020, hari ini. FOTO AFP
LEGENDA angkat berat Jepun, Yoshinobu Miyake menyaksikan Hiromi gagal menang pingat acara 49kg wanita di Tokyo 2020, hari ini. FOTO AFP
AFP

Tokyo: Larangan penonton ke gelanggang acara Olimpik Tokyo 2020 bermakna legenda angkat berat Jepun, Yoshinobu Miyake tidak mampu menyokong anak saudaranya, Hiromi, secara langsung, hari ini.

Jadi, jaguh berusia 81 tahun itu yang menang pingat emas Olimpik Tokyo 1964, mengumpul pasukan universiti di bilik latihan mereka untuk menonton anak saudaranya di televisyen.

Ketika Yoshinobu menang emas kedua Sukan Olimpik di Mexico City 1968, adiknya, Yoshiyuki menang gangsa dalam kategori berat sama.

Hiromi turut menang dua pingat Olimpik iaitu perak di London 2012 dan gangsa di Rio, lima tahun lalu.

Tetapi, impiannya memungut pingat ketiga gagal apabila menamatkan acara angkat berat kategori 49 kilogram (kg) wanita tanpa pingat dan acara itu dimenangi peserta China, Hou Zhihui.

"Saya simpati dengannya," kata Yoshinobu.

"Dia memiliki kekuatan, tetapi pencapaiannya tidak menentu. Ini bermakna, dia tidak mampu mengosongkan fikiran dan fokus.

"Dia mencuba, tetapi gagal. Saya fikir, ini menyebabkan ototnya menjadi lemah."

Ia adalah penyertaan kali kelima Hiromi di Olimpik dan Yoshinobu menyifatkannya sebagai sumbangan besar kepada dunia dan Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 11:14 PM