FOTO Hou yang mencetuskan tidak puas hati Kedutaan China. FOTO Agensi
FOTO Hou yang mencetuskan tidak puas hati Kedutaan China. FOTO Agensi
Agensi

Tokyo: Diplomat China mendakwa media Barat sengaja menyiarkan foto 'hodoh' salah seorang pemenang pingat emas angkat berat mereka dengan tujuan China nampak buruk di mata dunia.

Hou Zhihui memenangi emas pertama daripada tiga pingat emas yang dimenangi negaranya di Sukan Olimpik Tokyo.

Kedutaan China di Sri Lanka membidas agensi media Reuters yang memuat naik foto hodoh itu dalam berita di Twitter dan menganggap pemilihan foto itu memalukan dan menuduh Reuters tidak adil dan meletakkan ideologi mengatasi sukan.

Kenyataan diplomat terbabit disokong Global Times yang turut mengkritik agensi itu tidak menghormati semangat Olimpik.

Foto yang menjadi kontroversi itu memaparkan raut wajah atlet berusia 24 tahun ketika mengangkat bebanan dalam kategori 49kg.

'Dalam banyak foto acara itu, Reuters memilih foto ini yang menunjukkan betapa buruknya mereka,'' kata Kedutaan China di Sri Lanka.

'Jangan meletakkan politik dan ideologi mengatasi sukan dan mengatakan anda organisasi media yang adil. Memalukan, hormatilah semangat Olimpik.''

Global Times yang bertindak sebagai media propaganda kerajaan China menyelar CNN dan Reuters yang menyiarkan berita berat sebelah mengenai China di Sukan Olimpik.

'Pemilihan foto turut menyebabkan netizen China marah. Ia menampakkan wajah sebenar media Barat,'' kata pengarang, Liu Caiyu.

'Anda boleh lihat tembelang mereka, langsung tidak hormati Hou,'' kata salah seorang netizen.

Jaguh angkat berat wanita China itu diminta kekal di Tokyo buat sementara selepas mendapat pandangan pegawai anti doping. Laporan dari India mendakwa pemenang pingat perak, Mirabai Chanu mungkin dianugerahkan pingat emas jika Hou Zhihui didapati positif penggunaan bahan terlarang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 9:52 AM