Reuters

Tokyo: Atlet Jepun Hiromi Miyake (gambar) sedar China sebagai kuasa angkat berat wanita dunia, pasti berusaha mendominasi acara berkenaan di Olimpik 2016 Rio, tetapi pemenang pingat perak temasya London itu berkata pesaing utamanya adalah dirinya sendiri.

Atlet berusia 30 tahun itu yang akan bertanding dalam Olimpik keempatnya, lahir menerusi dinasti angkat berat Jepun. Bapa saudaranya, Yoshinobu pernah menjulang emas di temasya 1964 dan 1968 manakala bapa dan juga jurulatihnya, Yoshiyuki memenangi gangsa pada 1968.

Pada 2012, dia yang bertanding dalam kategori 48 kilogram, tewas di tangan atlet China, Wang Mingjuan sekali gus mencatat rekod dunia dengan 205kg, lebih 8kg berbanding beban yang diangkat Hiromi.

“China memang pesaing utama negara kami tapi saya rasa, apa yang perlu diatasi ialah diri sendiri,” kata Hiromi.

“Saya akan menumpukan perhatian kepada diri sendiri dan harap itulah yang akan berlaku ketika bersaing dengan atlet China nanti. Saya perlu bersaing dengan tenang dan bukannya terburu-buru. Buat masa sekarang, saya cuma mahu mengatasi semua kelemahan dan berhenti berfikir mengenai atlet China.”

Hiromi yang memiliki ketinggian 140 sentimeter (4 kaki 9 inci), belajar bermain piano sejak kanak-kanak sebelum memilih untuk terbabit dengan sukan angkat berat selepas melihat temasya Olimpik Sydney 2000.

Dia pernah berbelah bagi antara gusti, judo dan angkat berat sebelum memilih meneruskan tradisi keluarganya.

“Untuk gusti dan judo, anda perlu bermula sejak kecil,” katanya. “Saya tidak suka tewas, jika memulakannya lebih awal, sudah tentu saya akan setanding dengan atlet lain.

“Lagipun, apa gunanya saya mempunyai bapa saudara serta bapa yang pernah memenangi pingat Olimpik. Saya rasa mereka pasti mampu membimbing saya menjadi atlet angkat berat berjaya.”

Sejak temasya di London, prestasi Hiromi semakin baik dan dia sudah dapat merasakan mampu menggegar di Rio nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2016 @ 7:21 AM