COCO bakal terlepas beraksi di Olimpik Tokyo. FOTO AFP
COCO bakal terlepas beraksi di Olimpik Tokyo. FOTO AFP
AFP

Washington: Bintang tenis remaja Amerika Syarikat (AS), Coco Gauff terlepas beraksi di Olimpik Tokyo selepas diuji positif Covid-19.

Coco, yang beraksi sehingga pusingan keempat di Wimbledon, berkongsi perkhabaran sedih itu di Twitter bahawa impiannya untuk beraksi di temasya berkenaan pada usia 17 tahun tidak kesampaian.

"Saya sangat kecewa untuk berkongsi berita ini bahawa saya positif Covid-19 dan tidak dapat bermain di Sukan Olimpik di Tokyo.

"Ia sentiasa menjadi impian saya untuk mewakili AS di Olimpik dan saya berharap akan memperoleh peluang seperti ini lagi bagi mencapai impian pada masa akan datang," katanya.

Coco yang mara di suku akhir Grand Slam buat kali pertama tahun ini di Terbuka Perancis, menjadi pemain terbaru dari sukan tenis dan atlet AS yang terlepas peluang ke Olimpik.

Pemain nombor 25 dunia itu akan melakukan kuarantin dan pengasingan kendiri sebagai salah satu peraturan Covid-19.

"Saya mahu mengucapkan selamat maju jaya buat TEAM USA dan kepada semua atlet serta keluarga Olimpik saya harapkan sentiasa berada dalam keadaan selamat," katanya.

Coco meraih kejuaraan kedua WTA Mei lalu di Parma selepas merangkul trofi pertama pada 2019 di Linz.

Sebelum ini beberapa nama besar terlepas untuk beraksi di Tokyo antaranya, Roger Federer, Rafael Nadal, Serena Williams, Victoria Azarenka, Angelique Kerber dan Bianca Andreescu.

Bagaimanapun, pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic dan Ashleigh Barty dijangka akan mengambil bahagian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 11:12 AM