REAKSI Coco selepas menewaskan Andrea. - FOTO Agensi
REAKSI Coco selepas menewaskan Andrea. - FOTO Agensi
Reuters

PEMAIN remaja sensasi Amerika Syarikat, Coco Gauff mara kali pertama ke final WTA selepas menewaskan pemain Jerman, Andrea Petkovic 6-4, 6-4 di Terbuka Linz, awal pagi tadi.

Coco yang berusia 15 tahun muncul pemain termuda mara ke final WTA selepas pemain Republik Czech, Nicole Vaidisova menjulang Terbuka Tashkent pada 2004 ketika berusia 15 tahun.

Coco yang layak ke undian utama walaupun tewas bakal menentang bekas juara Terbuka Perancis, Jelena Ostapenko.

Pemain AS itu berdepan 10 mata ‘break’ tetapi berupaya bangkit dengan mematahkan sembilan daripadanya ketika menentang Andrea pada separuh akhir sebelum mengesahkan kemenangan pada mata akhir kedua.

"Ini memang gila,” kata Coco. “Saya fikir saya tersingkir pada saingan kelayakan tetapi sekarang saya berada di sini. Linz tempat istimewa saya.

"Aksi hari ini salah satu saingan tahap paling tinggi pernah saya harungi. Andrea banyak melakukan ‘winners’ dan memberi tekanan kepada saya. Saya berusaha mendapatkan servis dan memaksa dia melakukan kesilapan.”

Populariti Coco meningkat selepas dia muncul pemain termuda layak ke undian utama Wimbledon dalam era profesional dan mara ke pusingan keempat pada Julai lalu dengan juara tujuh kali Grand Slam, Venus Williams turut menjadi mangsanya.

Dia turut mendapat sokongan padu penyokong di Terbuka AS sebelum tewas kepada Naomi Osaka pada pusingan ketiga.

Selepas hanya tewas satu set dalam aksi undian utama di Linz minggu ini, Coco sudah pun memastikan tempat dalam ranking 100 teratas apabila WTA mengeluarkan senarai baharu esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 10:31 AM