Pelumba basikal trek negara, Azizulhasni Awang turut membantu golongan yang terkesan dan memerlukan. FOTO NSTP
Pelumba basikal trek negara, Azizulhasni Awang turut membantu golongan yang terkesan dan memerlukan. FOTO NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Meskipun sibuk dengan persiapan untuk Sukan Olimpik Tokyo, jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang masih dapat membantu golongan kurang bernasib baik dalam menghadapi situasi getir pandemik Covid-19 ketika ini.

Menerusi satu perkongsian di platform media sosial miliknya, Azizul yang mendapat gelaran The Pocket Rocketman, berkongsi video pendek sumbangan peribadinya bungkusan makanan kepada beberapa individu bagi meringankan beban mereka menghadapi tempoh sukar.

Azizul yang menjadi antara prospek utama untuk meraih pingat di Tokyo juga menyeru orang ramai supaya saling membantu antara satu sama lain sekiranya berkemampuan.

"Video ini bukanlah bertujuan untuk menunjuk-nunjuk, bahkan jauh sekali daripada riak dan yang seumpamanya. Tetapi saya berharap dua perkara dari anda semua dalam zaman penuh mencabar ini.

"Pertama, mereka yang mempunyai rezeki lebih, sama-samalah hulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Ringankanlah beban mereka yang terkesan dengan situasi sekarang.

"Kedua, mereka yang mempunyai segala macam masalah, janganlah segan silu untuk meminta bantuan daripada rakan-rakan, jiran-jiran mahupun orang ramai," katanya.

Menerusi video itu, beberapa individu mengucapkan terima kasih kepada Azizul atas sumbangan peribadinya itu dan mendoakannya agar berjaya pada temasya Olimpik kali ini.

Azizul ketika ini sedang giat menjalani latihan di Velodrom Nasional sebelum berlepas ke Tokyo.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 3:27 PM