FOTO Instagram azizulhasniawang
FOTO Instagram azizulhasniawang
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Ikon sukan negara Datuk Azizulhasni Awang memberikan pesanan khidmat masyarakat kepada golongan antivaksin di negara ini supaya mengambil suntikan Covid-19 seberapa segera.

"Ambillah vaksin boh, tak tahu nak cakap macam mana lagi, pening kepala," itulah nasihat ringkas Azizul yang kini kembali bersama keluarganya di Melbourne, Australia dalam hantaran terbaharu di laman Instagram dan Facebook miliknya.

Pemenang pingat perak acara keirin temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 berusia 33 tahun itu berada di kawasan berlatar belakangkan pemandangan suasana pantai dekat Melbourne dengan berpakaian lengkap pelumba basikal dan merakam video dalam bahasa Inggeris.

"Hai, saya Azizulhasni Awang The Pocket Rocketman. Seperti yang anda boleh lihat di belakang saya ramainya manusia di pantai. Sudah menjadi lumrah di Australia di mana saja di seluruh negara ini apabila matahari keluar, mereka akan membanjiri pantai.

"Mereka keluar dengan tujuan mahu menikmati cahaya matahari, berehat, bertemu sahabat handai dan berseronok.

"Bagaimana semua ini boleh berlaku? Jawapannya amat mudah iaitu dengan mengambil vaksin. Vaksin satu-satunya penyelesaian terhadap wabak Covid-19 ketika ini sama ada anda suka atau tidak.

"Jadi kepada semua rakan dan peminat saya dari Malaysia, ambik la vaksin deh, bereh!"

Sebelum kembali ke Melbourne, Azizul mendapat jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyaksikan suntikan ke satu juta dos di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur.

Beberapa hari kemudian, dia juga bertemu bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, kini memegang jawatan Menteri Kesihatan, yang ketika itu melawat Klinik Kesihatan Tampin sebelum turut menyaksikan pemberian vaksin di PPV Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Taha di Gemencheh, Negeri Sembilan.

Azizul menyokong penuh pengambilan vaksin bagi menangani penularan wabak Covid-19 dan mahu rakyat Malaysia mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang disarankan kerajaan sekali gus membantu keluar daripada pandemik semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 5:40 PM