GIDEY berjaya memberikan larian sempurna dengan bantuan teknologi Wavelight. FOTO AFP
GIDEY berjaya memberikan larian sempurna dengan bantuan teknologi Wavelight. FOTO AFP
AFP

Paris: Pelari Habsyah, Letesenbet Gidey memecahkan rekod dunia 10,000 meter (m) di trek yang sama di mana atlet Belanda, Sifan Hassan mencatatkan rekod terdahulu dua hari lalu.

Catatan masa 29 minit 1.03 saat (s) yang dilakukan di pemilihan Olimpik Habsyah di Hengelo, Belanda menyaksikan dia sekarang ini memegang dua rekod dunia iaitu acara 5,000m dan 10,000m.

Dibantu dengan teknologi Wavelight yang mengejar pelari, dia berjaya mencatat masa lebih pantas 1 minit 20.2 saat berbanding masa terbaiknya dalam acara berkenaan iaitu 30:21.23s yang dilakukan di Kejohanan Dunia di Doha pada 2019.

Gidey, 23, mencatat masa lebih daripada seminit mengatasi Tsigie Gebreselama dan menenggelamkan rekod Sifan dengan kelebihan lima saat.

Ababel Yeshaneh mengekori Gidey dalam hampir keseluruhan perlumbaan tatkala mereka mengekori cahaya lampu biru di sekeliling trek.

Yeshaneh mula mengendurkan kelajuan namun Gidey meneruskan rentak cemerlang.

Pada pusingan terakhir, Gidey mula melakukan larian lebih pantas untuk menamatkan perlumbaan dengan catatan 29:01.03s.

"Saya menjangkakan untuk melakukan larian rekod dunia. Saya gemar untuk memecahkan rekod dunia sekali lagi dan cuba mengatasi masa 29 minit," kata Gidey.

Dia menjadi atlet wanita pertama untuk memegang rekod 5,000m dan 10,000m serentak sejak ia dilakukan Ingrid Kristiansen dari Norway pada 1986 hingga 1993.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 2:42 PM