Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.
Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Tidak ada apa yang perlu dirisaukan, jelas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail selepas kem skuad olahraga kebangsaan menerima perkhabaran sedih apabila ketua jurulatihnya Manshahar Abdul Jalil dan dua ahli keluarga didapati positif Covid-19.

Menurut Ahmad Shapawi, tidak ada apa yang perlu dirisaukan terutama membabitkan atlet olahraga negara kerana tiada sebarang sentuhan antara atlet dan jurulatih.

"Beliau bukan sentuh atlet, tiada sentuhan lagi pun beliau adalah ketua jurulatih yang lebih banyak kepada tugas penyelarasan," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Jelas Ahmad Shapawi, semua pihak juga tidak perlu risau mengenai tahap kesihatan atlet olahraga yang sentiasa melakukan ujian Covid-19.

"Semua mereka sudah melakukan ujian calitan, tidak ada apa yang perlu risau kerana mereka kerap kali menjalani ujian berkenaan. Malah barisan jurulatih pun tidak mempunyai kontak secara rapat dengan atlet.

"Tugas ketua jurulatih (Manshahar) lebih kepada penyelarasan dan tidak memerlukan hubungan secara rapat," katanya.

Semalam, Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk SM Muthu berkata, Manshahar bersama seorang anak lelakinya kini menjalani proses kuarantin di rumah selama 14 hari, selepas disahkan dijangkiti wabak berkenaan Sabtu lalu.

Menurut Muthu, ketika ini hampir semua atlet olahraga di bawah Program Podium masih menjalani latihan di Majlis Sukan Negara (MSN) secara 'dalam kuarantin' kecuali atlet lompat kijang Muhammad Hakimi Ismail, Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera) dan Iskandar Alwi (lompat bergalah).

Barisan atlet pelapis pula berada di rumah masing-masing dan dijadualkan kembali ke MSN pada 16 Jun depan.

Atlet olahraga negara sudah menjalani ujian Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag) dan kesemuanya didapati negatif.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 6:14 PM