MANSHAHAR kuarantin di rumah selama 14 hari.
MANSHAHAR kuarantin di rumah selama 14 hari.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kem skuad olahraga kebangsaan menerima perkhabaran sedih selepas ketua jurulatihnya Mohd Manshahar Abdul Jalil dan dua ahli keluarga didapati positif Covid-19.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk SM Muthu berkata, Mohd Manshahar bersama seorang anak lelakinya kini menjalani proses kuarantin di rumah selama 14 hari, selepas disahkan dijangkiti wabak tersebut pada Sabtu lepas.

"Saya berhubung menerusi WhatsApp dan beliau memberitahu keadaannya baik serta tidak menghadapi sebarang masalah tahap jangkitannya juga rendah. Kita harap dan doakan beliau segera sembuh," katanya ketika dihubungi hari ini.

Muthu berkata terdahulu Mohd Manshahar yang mengalami demam panas telah berjumpa doktor pada Rabu lepas, sebelum melakukan ujian saringan COVID-19 pada Sabtu apabila demamnya tidak beransur pulih.

Menurut Muthu, ketika ini hampir semua atlet olahraga di bawah Program Podium masih menjalani latihan di Majlis Sukan Negara (MSN) secara 'dalam kuarantin' kecuali atlet lompat kijang Muhammad Hakimi Ismail, Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera) dan Iskandar Alwi (lompat bergalah).

Katanya, barisan atlet pelapis pula berada di rumah masing-masing dan dijadualkan kembali ke MSN pada 16 Jun depan.

Muthu berkata, atlet olahraga negara telah menjalani ujian Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag) dan kesemuanya didapati negatif.

Sementara itu, isteri Mohd Manshahar, Herina Wong Abdullah semalam dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Serdang, demikian menurut catatan di Instagram rasmi anak perempuannya penyanyi Nur Nadia Natasha, 28, atau lebih dikenali sebagai Tasha Manshahar.

"Ayah nampaknya semakin baik Alhamdulillah. 'Mummy' je la. Paru-paru mummy ada jangkitan, tahap oksigen dalam badan pun tidak baik. Oleh itu, doktor kena 'tidurkan' dia dan masukkan tiub untuk bantu pernafasan sehingga keadaan kembali stabil," kata anak sulung daripada tiga beradik itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 2:43 PM