CARAPAZ meraih emas di Olimpik Tokyo. FOTO AFP
CARAPAZ meraih emas di Olimpik Tokyo. FOTO AFP
AFP

Quito: Juara perlumbaan berbasikal lebuh raya Olimpik, Richard Carapaz tidak akan mempertahankan kejuaraannya di Paris, dengan Jhonatan Narvaez mengambil tempat tunggal untuk Ecuador, kata Persekutuan Lumba Basikal Ecuador (FEC).

"Jhonatan Manuel Narvaez Prado akan mengambil bahagian dalam acara lebuh raya dan ujian masa individu," kata FEC dalam satu kenyataan.

Carapaz, 30, satu-satunya warga Ecuador yang memenangi emas Olimpik dalam sukan berbasikal, menyelar peraturan pemilihan FEC sebagai 'jelas menyeleweng dan tidak mempunyai prinsip asas keadilan serta kesaksamaan sukan'.

Juara Giro d'Italia 2019 menegaskan bahawa, mengikut peraturan baharu, 'mata diambil kira mulai Januari, tetapi peraturan itu tidak diterbitkan sehingga Mac, apabila sudah ada perbezaan mata antara atlet.

"Walaupun diketepikan, Carapaz mengucapkan selamat maju jaya kepada Narvaez yang berusia 27 tahun, pemenang peringkat pertama Giro d'Italia awal bulan ini dan antara pendahulu di beberapa peringkat.

Kedua-dua pelumba itu mengenali antara satu sama lain sejak kecil dan juga rakan sepasukan di Ineos selama dua musim dari 2020 hingga 2022.

"Kali ini tidak mungkin saya menjadi wakil di Sukan Olimpik dan saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Jhonatan, saya mendoakan yang terbaik untuk dia mewakili kami dengan cara yang terbaik," kata Carapaz dalam video yang disiarkan di X

Pada Sukan Tokyo yang ditangguhkan akibat Covid pada 2021, Carapaz memenangi perlumbaan lebuh raya mengatasi wakil Belgium, Wout van Aert dan Tadej Pogacar dari Slovenia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 11:08 AM