PELUMBA Ecuador, Richard Carapaz bersorak selepas memenangi pingat emas acara lebuh raya di Sukan Olimpik Tokyo 2020. FOTO FAIL REUTERS
PELUMBA Ecuador, Richard Carapaz bersorak selepas memenangi pingat emas acara lebuh raya di Sukan Olimpik Tokyo 2020. FOTO FAIL REUTERS
AFP

Paris: Pasukan lumba basikal Britain, Ineos menamakan barisan pelumba hebat untuk mempertahankan gelaran Giro d'Italia dimenangi sejak dua edisi lalu dengan diketuai pelumba Ecuador, Richard Carapaz.

Carapaz memenangi Giro pada 2019 ketika berkayuh untuk pasukan Sepanyol, Movistar dan pelumba serba boleh itu akan bertanding kali ini selepas menduduki tempat ketiga Tour de France pada 2021 dan pemenang pingat emas acara lebuh raya di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Ini adalah perlumbaan yang saya cintai, mungkin perlumbaan paling digemari," kata Carapaz, yang akan dibantu dua pelumba berpotensi mencabar kejuaraan iaitu Richie Porte, 37, dan pelumba pendaki berusia 24 tahun, Pavel Sivakov.

Pelumba Colombia, Egan Bernal memenangi gelaran pada 2021 untuk Ineos manakala pelumba Britain, Tao Geoghegan Hart memenangi gelaran pada 2020.

Porte menduduki tempat ketiga Tour de France pada 2020 dan mengakui, kepulangan untuk aksi terakhir Grand Tour cukup istimewa buatnya.

"Saya mula berlumba di Giro pada 2010 dan memakai jersi merah jambu selama tiga hari. Ia pencapaian menakjubkan dan masih antara memori terindah dalam karier saya," kata Porte.

"Kami memiliki pelumba seperti Richard Carapaz yang mampu memenangi perlumbaan ini. Memang menarik apabila dapat bersaing bersama pelumba anda gemari, hormat dan diharapkan memenangi perlumbaan," kata Porte.

Perlumbaan Giro akan bermula di Budapest, Hungary pada 6 Mei dan berakhir di Verona pada 29 Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2022 @ 9:06 AM