ASHLEIGH cuba membalas pukulan Elina dalam aksi separuh akhir di Stuttgart. FOTO AFP
ASHLEIGH cuba membalas pukulan Elina dalam aksi separuh akhir di Stuttgart. FOTO AFP
AFP

Stuttgart: Pemain nombor satu dunia, Ashleigh Barty meraikan sambutan hari jadi ke-25 dengan bangkit untuk melawan Elina Svitolina di separuh akhir kejohanan WTA permukaan tanah liat di Stuttgart.

Walaupun tumpas pada set pertama dalam tempoh setengah jam, Ashleigh berjaya bangkit untuk mencatat kemenangan 4-6, 7-6 (7/5), 6-2 ke atas pilihan keempat dari Ukraine itu.

Pemain kelahiran Australia itu akan berdepan pilihan kelima, Aryna Sabalenka dalam perlawanan akhir selepas wakil Belarus itu mengalahkan Simona Halep straight set.

"Ia sangat penting untuk mempercayai diri sendiri. Apa saja kedudukan mata, saya sentiasa mencuba dan mencari jalan terbaik," katanya sebelum dihadiahkan jambangan bunga dan lagu selamat hari jadi dimainkan melalui pembesar suara.

Sementara itu, Rafael Nadal berjaya menumpaskan rakan senegara, Pablo Carreno Busta untuk mara ke perlawanan akhir di Barcelona buat kali ke-12.

Dia akan berdepan Stefanos Tsitsipas, dari Greece pemain yang mengalahkannya di Terbuka Australia tahun ini.

Nadal yang juga pilihan utama, mara selepas mencatat kemenangan 6-3, 6-2 dalam aksi 90 minit.

Ia adalah kemenangan kelapan Nadal dalam lapan pertemuan dengan rakan sepasukan Piala Davis itu.

"Esok adalah perlawanan yang paling sukar. Stefanos sekarang berada pada prestasi terbaik," kata Nadal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 2:21 PM