NADAL mara ke suku akhir Terbuka Barcelona selepas mengalahkan Nishikori. FOTO EPA
NADAL mara ke suku akhir Terbuka Barcelona selepas mengalahkan Nishikori. FOTO EPA
AFP

Barcelona: Rafael Nadal perlu menempuh satu lagi aksi sengit buat kali kedua berturut-turut di Barcelona sebelum mengalahkan Kei Nishikori dari Jepun untuk mara ke suku akhir dan berada di landasan tepat meraih kejuaraan Terbuka Barcelona buat kali ke-12.

Pemain nombor tiga dunia itu mencatat kemenangan 6-0, 2-6, 6-2 ke atas juara 2014 dan 2015 dan bakal berdepan wakil Britain, Cameron Norrie untuk mencari slot ke separuh akhir.

Nadal yang tewas mengejut di suku akhir Masters Monte Carlo minggu lalu sebelum ini juga memerlukan sehingga tiga set untuk mengalahkan pemain kelayakan dari Belarus, Ilya Ivashka pada aksi sulungnya di Barcelona.

"Saya rasa bermain baik berbanding semalam, itulah yang sangat penting buat saya sekarang.

"Tahap positif saya berada pada paras tinggi, jadi saya berpuas hati," kata Nadal dalam kemenangan ke-12 selepas 14 kali berdepan Nishikori.

Norrie yang juga pemain nombor 58 dunia mara selepas pilihan kelapan dari Belgium, David Goffin menarik diri di set kedua kerana mengalami kecederaan di bahagian kaki kanan.

Nadal mengalahkan Norrie dalam perlawanan tunggal dengan kemenangan straight set di pusingan ketiga Terbuka Australia Februari lalu.

Pilihan kedua, Stefanos Tsitsipas, juara di Monte Carlo, mara ke suku akhir selepas menang 7-5, 6-3 ke atas pilihan ke-14 dari Australia, Alex de Minaur.

Tsitsipas akan berdepan pilihan ke-11 dari Kanada, Felix Auger Aliassime yang menyingkirkan Denis Shapovalov 6-2, 6-3.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 2:09 PM