NADAL (kiri) bersalaman dengan Fognini selepas tamat perlawanan. FOTO AFP
NADAL (kiri) bersalaman dengan Fognini selepas tamat perlawanan. FOTO AFP
AFP

Melbourne: Rafael Nadal dalam landasan tepat untuk muncul pemenang gelaran Grand Slam terbanyak selepas menewaskan Fabio Fognini hari ini manakala Ashleigh Barty mencerahkan peluang menjadi pemain tuan rumah pertama menjuarai Terbuka Australia dalam tenpoh 43 tahun.

Nadal berkata, sakit di bahagian belakangnya semakin baik selepas menang 6-3, 6-4, 6-2 ke atas pemain Itali itu dan akan menentang pemain Greece, Stefanos Tsitsipas pada suku akhir.

Fognini menang lima set ketika menewaskan Nadal pada Terbuka AS 2015 tetapi bintang Sepanyol itu membalas dendam dengan kembali bangkit selepas ketinggalan 2-4 di set kedua.

Nadal yang akan beraksi pada suku akhir ke-43 Grand Slam berpeluang menentang juara lapan kali, Novak Djokovic pada final selepas pemain nombor satu dunia itu turut mara ke saingan lapan terakhir pada Ahad lalu.

"Saya gembira mara ke suku akhir hari ini, ia sangat bermakna bagi saya,'' kata Nadal yang terikat dengan Roger Federer yang menjuarai 20 gelaran Grand Slam.

Sementara itu, pilihan utama, Ashleigh menewaskan pemain Amerika Syarikat, Shelby Rogers untuk mara ke peringkat lapan terakhir.

Barty menang 6-3, 6-4 dan layak ke suku akhir tanpa kehilangan sebarang set dalam misi muncul pemain Australia pertama muncul juara sejak Chris O'Neil pada 1978.

"Saya suka beraksi di tempat sendiri dan berkongsi detik ini dengan keluarga dan rakan,'' kata Ashleigh.

Bekas juara Terbuka Perancis itu akan menentang Karolina Muchova yang menewaskan pemain Belgium, Elise Mertens 7-6 (7/5), 7-5.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2021 @ 9:14 PM