HALIM (kiri) menjelaskan Ahmad (kanan) akan menghadapi tuduhan membabitkan tingkah laku kerana mencemar dan merosakkan nama baik ASTAF. FOTO NSTP
HALIM (kiri) menjelaskan Ahmad (kanan) akan menghadapi tuduhan membabitkan tingkah laku kerana mencemar dan merosakkan nama baik ASTAF. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Tingkah laku dan tindakan yang dilakukan oleh Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia, Datuk Seri Ahmad Ismail yang mempersoalkan kredibiliti Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) sebelum ini akan mengheret beliau ke muka pengadilan jawatankuasa disiplin ASTAF dalam masa terdekat.

Perkara itu disahkan oleh Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader yang memaklumkan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif yang berlangsung pada Jumaat lalu bersetuju untuk mengambil tindakan disiplin kepada Ahmad Ismail.

Bagaimanapun Halim ketika dihubungi berkata, beliau enggan mendedahkan secara terperinci perincian terhadap tuduhan kepada Ahmad Ismail itu.

"Ahmad dijangka akan menghadapi tuduhan membabitkan tingkah laku dan perbuatan yang dilakukannya iaitu mencemar dan merosakkan nama baik ASTAF kerana mempersoalkan kesahihan Kongres ASTAF yang berlangsung pada 1 Mac lalu.

"Tindakan itu mendapatkan sokongan semua anggota eksekutif ASTAF dalam mesyuarat yang berlangsung 90 minit secara maya dipengerusikan oleh saya sendiri," katanya.

Halim turut memaklumkan bahawa pada mesyuarat itu juga semua jawatankuasa turut sebulat suara bersetuju mengambil tindakan disiplin terhadap pengurus pasukan sepak takraw wanita Malaysia, Wan Mohd Husni Abdullah yang juga Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Sembilan di atas tindakan yang dilakukannya ketika Sukan SEA Filipina.

Terdahulu Ahmad Ismail mencetuskan kontroversi apabila mahu mengambil tindakan undang-undang dengan membawa ASTAF ke Mahkamah Timbang Tara Sukan.

Ahmad Ismail mendakwa berlaku penyelewengan ketika pengundian kongres ASTAF berlangsung dengan melakukan beberapa perkara yang menyalahi perlembagaan ASTAF seterusnya menyaksikan Halim menang menerusi keputusan 0-30.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 1:14 PM