Iruan (kiri) bersama Rustam Saidov. FOTO Ihsan PTM
Iruan (kiri) bersama Rustam Saidov. FOTO Ihsan PTM
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Kalau hendak menang emas di Sukan Sea Vietnam, inilah orangnya (Rustam Saidov) yang mampu untuk melahirkan jaguh berkenaan ujar Presiden Persekutuan Tinju Malaysia (PTM), Datuk Iruan Zulkifli.

Menurutnya, kesungguhan dan perbezaan Rustam sudah dapat dilihat sejak hari pertama semalam, di mana corak dan cara pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Sydney 2000 sangat berbeza berbanding pengendali sebelum ini.

"Sepatutnya beliau mulakan tugas esok tapi hari ini beliau sudah turun ke pusat latihan Majlis Sukan Negara (MSN) Keramat untuk memulakan latihan hari pertama bersama petinju negara. Ini disebabkan kesungguhan dan minatnya," kata Iruan.

Menurutnya, selepas dua hari bersama dengan Rustam beliau mula nampak bahawa pengendali kelahiran Uzbekistan itu mampu memberikan sinar baru buat sukan tinju negara.

"Kami bukan hanya melantik beliau sebagai ketua jurulatih semata-mata, malah dalam masa sama akan digunakan ilmu yang dimiliki untuk pembangunan tinju Malaysia. Beliau akan terbabit dalam program cungkil bakat di peringkat akar umbi.

"Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang kita letakkan paling utama buat Rustam adalah wajib meraih emas di Sukan Sea Vietnam, selain memberikan perubahan kepada arena tinju negara," kata Iruan.

Sementara itu, Rustam yang tiba di Malaysia 26 Januari lalu, mengingatkan anak buahnya agar sentiasa meletakkan tinju sebagai matlamat utama selain mempunyai hati yang besar seperti legenda dunia termasuk Mike Tyson, Muhammad Ali dan Manny Pacquiao.

"Marilah kita sama-sama bekerja, kekalkan persahabatan, saya rasa tidak ada masalah untuk meningkatkan sukan tinju di Malaysia. Saya berjanji. Saya sudah bertemu dan bercakap dengan anak buah saya hari ini bahawa sentiasa tanamkan di hati untuk membuatkan negara, keluarga dan rakyat bangga.

"Sebelum saya memenangi pingat Olimpik dan juara dunia serta Asia, saya sentiasa memikirkan mengenai tinju saja, memang ada di antara anak buah saya masih belajar di universiti tapi apabila masuk ke dalam gelanggang teruskan bekerja keras," katanya yang meraih emas Sukan Asia 2002 dan 2006.

Rustam juga diberi sepenuhnya kuasa oleh PTM bagi memilih lima hingga enam petinju terbaik negara bagi diletakkan dalam program khas untuk meraih kejayaan di Sukan Sea dan beberapa lagi temasya utama, serta mengadakan latihan khas di Uzbekistan pada masa akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2021 @ 9:52 PM