IRUAN (tengah) mengakui insentif berkenaan lebih menarik berbanding di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017. FOTO Ihsan Facebook Iruan Zulkefli
IRUAN (tengah) mengakui insentif berkenaan lebih menarik berbanding di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017. FOTO Ihsan Facebook Iruan Zulkefli
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: 'Durian runtuh' menanti atlet tinju negara sekiranya berjaya membawa pulang pingat emas buat kontinjen Malaysia di temasya Sukan Sea Kemboja di Phnom Penh Mei ini.

Presiden Persekutuan Tinju Malaysia (PTM) Datuk Mohamad Iruan Zulkefli berkata, habuan yang yang diberikan itu adalah bagi menaikkan lagi semangat petinju negara bagi mengakhiri kemarau enam tahun Malaysia di temasya dwitahunan itu.

"Kita akan berikan insentif itu sebaik saja atlet memenangi emas, kita bayar pada waktu itu juga. Jumlahnya saya tidak boleh umumkan, tetapi apa yang saya boleh katakan ia lebih menarik daripada apa yang diterima ketika Sukan Sea Kuala Lumpur 2017," katanya.

Untuk rekod, kali terakhir skuad tinju meraih emas adalah pada Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 menerusi Muhammad Fuad Redzuan dalam acara light flyweight 49 kilogram (kg) selepas menumbangkan petinju Thailand, Thani Narinram di pentas final.

Pada temasya kali yang akan berlangsung dari 5 hingga 17 Mei ini, seramai tujuh petinju dipilih bagi menggalas cabaran negara di Phnom Penh dengan bekas pemenang gangsa kategori middleweight (79kg) Sukan Sea Kuala Lumpur, Indran Ramakrishnan dijangka menjadi prospek terbaik bagi menghadiahkan emas buat skuad negara pada temasya kali ini.

Bagaimanapun, dia yang tidak menyertai dua edisi terakhir Sukan Sea sebelum ini bertukar kategori apabila akan beraksi dalam kategori 86kg.

"Kita mengharapkan dua atlet kita berjaya mara ke final dan salah seorang daripadanya adalah Indran. Dia seorang atlet yang berpengalaman dan kali ini bertukar kategori kepada 86kg.

"Dalam tempoh dua tahun ini, dia menunjukkan komitmen yang tinggi apabila memenangi emas dalam semua kejohanan dalam negara. Jadi, kita percaya ada peluang untuk di meraih emas di Kemboja nanti," kata Iruan.

Pada Sukan Sea Hanoi di Vietnam, tahun lalu, skuad tinju negara gagal membawa pulang emas apabila sekadar berpuas hati dengan meraih tiga gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2023 @ 4:31 PM