IRUAN (kiri) mengumumkan pelantikan Supawit sebagai jurulatih baharu tinju negara untuk membimbing atlet ke Paris 2024.
IRUAN (kiri) mengumumkan pelantikan Supawit sebagai jurulatih baharu tinju negara untuk membimbing atlet ke Paris 2024.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Persekutuan Tinju Malaysia (PTM) mengumumkan perlantikan jurulatih baharu dari Thailand, Supawit Charoensook dalam usaha untuk membawa petinju negara layak ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Perkara itu dimaklumkan Presiden PTM, Datuk Iruan Zulkefli yang berharap kehadiran Supawit dapat memberi impak buat atlet negara terutama Mohd Aswan Che Azmi dan Muhammad Abdul Qaiyum Ariffin yang akan beraksi di Kejohanan Kelayakan Tinju Dunia Road To Paris di Bangkok dari 25 Mei hingga 2 Jun ini.

Beliau berkata, Supawit diberikan kontrak dua tahun dengan sasaran lain diletakkan adalah meraih satu emas di Sukan Sea Bangkok, tahun depan.

"Pelantikan Supawit adalah dengan kerjasama Persatuan Tinju Thailand selepas kita lihat perkembangan tinju di Thailand amat mengagumkan.

"Jadi kita nak ilmu daripada mereka. Cara latihan dan apa yang mereka buat sehingga dapat membawa atlet mereka meraih kejayaan di pentas Olimpik, Asia apatah lagi di Sukan Sea.

"Beliau sudah lama menjadi penolong jurulatih skuad kebangsaan Thailand dan cukup faham strategi dan latihan atlet Thailand.

"Pengalaman itulah yang kita tagih dan selepas dia tiba 10 hari lalu, saya nampak ada keserasian dalam teknik dan pendekatan yang digunakan untuk atlet negara," katanya.

Jelas Iruan, bagi mengesahkan tempat ke Paris 2024, petinju negara perlu melayakkan diri ke pentas akhir dalam kategori masing-masing.

Pada kejohanan kelayakan terakhir itu, PTM akan menghantar empat atlet apabila Qaiyum beraksi dalam 46-51 kilogran (kg), Aswan (63.5-71kg) manakala dua petinju lagi akan ditentukan oleh Supawit.

Qaiyum dan Aswan berpengalaman beraksi di Sukan Asia Hangzhou 2022 apabila Qaiyum tewas di pusingan kelayakan manakala perjuangan Aswan terhenti di suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2024 @ 4:03 PM