Iruan (kanan) menyambut ketibaan Rustam Saidov di KLIA. FOTO Ihsan FB Iruan Zulkefli.
Iruan (kanan) menyambut ketibaan Rustam Saidov di KLIA. FOTO Ihsan FB Iruan Zulkefli.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Skuad tinju negara kini boleh menarik nafas lega apabila jurulatih dari Uzbekistan, Rustam Saidov tiba di negara ini, kelmarin.

Presiden Persekutuan Tinju Malaysia (PTM), Datuk Mohd Iruan Zulkefli mengesahkan perkara itu dengan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Sydney 2000 itu akan menjalani kuarantin selama 10 hari sebelum dibenarkan bersama skuad kebangsaan negara di Majlis Sukan Negara (MSN) Keramat.

Menurut Iruan, beliau kini optimis dan memberi sepenuh keyakinan bahawa Saidov mampu untuk membawa kejayaan buat skuad tinju negara terutama di peringkat Asia dan juga Asia Tenggara.

"Selamat datang Rustam. Semoga kehadiran anda akan dapat memberikan kecemerlangan buat kem tinju Malaysia. "Matlamat kami jelas dan hanya satu iaitu mengharumkan nama negara dan memastikan Jalur Gemilang berkibar di pentas dunia," katanya.

Kata Iruan, Saidov akan diberi tempoh sebulan untuk menilai prestasi kesemua atlet seterusnya memilih atlet yang akan berada di bawah naungannya.

"Bekas juara itu juga tidak mempunyai banyak masa mempersiapkan barisan atlet negara ke temasya Sukan Sea dan diharapkan sentuhannya akan menjadi dan negara berjaya membawa pulang lebih dari satu emas," katanya.

PTM sebelum ini mengumumkan pelantikan bekas petinju dari Uzbekistan itu sebagai ketua jurulatih yang baharu untuk tempoh dua tahun bermula awal Januari tahun ini.

Selain muncul juara Asia pada 1999, 2002 dan 2007, Saidov turut merangkul pingat emas pada Sukan Asia 2002 di Busan, Korea Selatan dan Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar sebelum memulakan kariernya sebagai jurulatih.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2021 @ 7:11 PM