Azizulhasni Awang raih pingat emas acara keirin di Australia
Azizulhasni Awang raih pingat emas acara keirin di Australia
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Jaguh lumba basikal negara, Azizulhasni Awang berharap semua rakan atlet dapat terus berjuang menghadapi pelbagai rintangan selagi hasrat untuk berjaya di Olimpik tidak dapat direalisasikan.

Kejayaannya meraih emas ketika Kejohanan Berbasikal Australia baru-baru ini membuktikan pandemik Covid-19 bukan sebab untuk mencipta alasan terutama mengelak daripada menjalani latihan.

"Kepada semua rakan saya dan atlet kebangsaan, saya harap apa yang sudah saya lakukan ini akan menjadi inspirasi kepada semua dan Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan bukan alasan untuk tidak meneruskan latihan.

"Kita semua perlu terus berusaha dan kekal fokus kepada matlamat untuk mengejar impian dalam karier anda. Teruskan positif dan kekal produktif ketika pandemik ini," katanya.

Kejayaannya muncul juara keirin di Kejohanan Kebangsaan Australia itu membolehkannya menyarung jersi putih Australia iaitu sebagai juara kebangsaan negara itu.

Bagaimanapun pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia di Berlin dalam acara pecut dan keirin itu berkata, dia hanya akan menyarung jersi Malaysia apabila turun beraksi di setiap kejohanan.

"Menang di Kejohanan Kebangsaan Australia itu memberi kenangan manis. Paling tak dapat dilupakan apabila Matt Glaetzer datang kepada saya selepas majlis penyampaian hadiah untuk memberikan jersi kebangsaan Australia itu.

"Selama 13 tahun berlumba di Melbourne ini sudah pasti saya rasa seperti mewakili negara ini dan Victoria juga tapi saya tetap akan menyarung jersi Malaysia selamanya.

Bagaimanapun berjaya memilik jersi Australia ini akan menjadi koleksi dan sejarah dalam karier saya," katanya.

Pada aksi akhir itu, Azizul berjaya menumpaskan Glaetzer untuk perak dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Disember 2020 @ 7:35 PM