AZIZULHASNI memenangi pingat perak acara keirin di Kejohanan Piala Negara-Negara UCI di Indonesia, baru-baru ini. FOTO FB AZIZULHASNI AWANG
AZIZULHASNI memenangi pingat perak acara keirin di Kejohanan Piala Negara-Negara UCI di Indonesia, baru-baru ini. FOTO FB AZIZULHASNI AWANG
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Impak Datuk Azizulhasni Awang nyata tidak dapat dinafikan dan kepulangannya ke arena trek antarabangsa pasti menjadi igauan pesaingnya.

Malah, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) cukup yakin akan kemampuan pelumba negara itu untuk melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024 nanti dengan misi pemburuan emas pertama negara akan diteruskan.

Azizulhasni membuktikan dia berada di kelas tersendiri apabila melonjak kedudukan dari ranking ke-46 dunia ketika baru kembali selepas menjalani pembedahan jantung April lalu dan kini berada di kedudukan ke-20 dunia dalam acara keirin.

Kejayaannya merangkul perak dalam acara keirin di Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Indonesia, baru-baru ini, melonjakkan kedudukan rankingnya dan bukan satu yang mustahil buat pelumba kelahiran Terengganu itu kembali ke puncak dunia.

Manakala peluang seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom untuk layak ke Olimpik Paris 2024 dilihat tidak berdepan masalah apabila dia kini menghuni ranking ke-11 dunia.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab berkata, PKBM kini merangka strategi dengan menganjurkan beberapa kejohanan agar dua pelumba negara itu dapat mengumpul mata kelayakan bagi memastikan tempat ke Paris 2024 terjamin.

"Velodrom Nasional akan menganjurkan beberapa kejohanan iaitu Kejohanan Trek Asia pada Jun ini serta Piala Presiden pada hujung tahun dan kedua-dua kejohanan itu berdaftar di bawah UCI serta menawarkan mata Olimpik.

"Penganjuran kejohanan itu bertujuan untuk membantu pelumba negara mendapatkan mata ke Olimpik.

"Bagaimanapun saya tidak bimbang dan saya yakin dengan masa yang ada ini kedua-dua pelumba negara iaitu Azizul dan Shah Firdaus mampu melayakkan diri ke Olimpik," katanya.

Bagi melayakkan diri ke Paris, pelumba negara perlu menduduki kelompok 30 terbaik dunia dalam acara keirin atau sebelum tarikh akhir iaitu pada 14 April 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2023 @ 7:22 PM