AZIZULHASNI (kiri) bersama Fatehah mempamerkan pingat masing-masing.
AZIZULHASNI (kiri) bersama Fatehah mempamerkan pingat masing-masing.
Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal negara Azizulhasni Awang kini mampu memberikan tumpuan penuh dalam merangka persediaan terbaik menghadapi Kejohanan Trek Dunia dan Olimpik Rio tahun depan.

Kejayaannya mengungguli acara pecut Siri 1 Grand Prix Asia Tenggara 2015 di Velodrom Kuala Lumpur di Cheras, semalam membantunya mengukuhkan kedudukannya dalam ranking dunia.

Tanpa mengira pungutan mata semalam, Azizulhasni kini berada di ranking ke-34 dunia dalam acara pecut manakala kedua dunia keirin, berdasarkan laman web Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang dikemaskini 3 Ogos lalu.

“Matlamat sejak dari awal menyertai kejohanan ini adalah untuk mendapatkan mata bagi acara pecut kerana kedudukan saya sudah selamat dalam keirin. Saya rasa pungutan mata hari ini (semalam) sudah mencukupi untuk layak ke Kejohanan Trek Dunia dalam acara pecut,” katanya.

Terdahulu Azizulhasni yang mewakili Yayasan Sime Darby (YSD) mempamerkan kayuhan bertenaga menewaskan rakan senegara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dalam final acara pecut apabila memenangi kedua-dua pusingan.

“Fokus untuk Kejohanan Trek Dunia di London (Mac 2016) kini berada di landasan tepat. Saya mensasarkan emas kali ini selepas meraih gangsa awal tahun ini.

“Kejohanan di London bakal menjadi ukuran untuk bersaing di Olimpik nanti. Jika saya tidak menyerlah di situ, saya masih mempunyai masa untuk melakukan perubahan yang perlu bagi menghadapi Olimpik,” katanya.

Mengulas mengenai kejohanan GP Asia Tenggara 2015 itu, Azizulhasni berharap lebih banyak negara akan dijemput untuk siri seterusnya.

“Jika banyak yang menyertai, kejohanan akan menjadi lebih meriah dan sengit. Secara tidak langsung bagus untuk pembangunan. Namun ia tetap permulaan yang bagus dan boleh dipertingkatkan pada masa depan,” jelasnya.

Status perlumbaan berkenaan kekal kelas dua, seperti yang didaftarkan awal dengan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dengan pihak penganjur tidak dapat meningkatkannya atas beberapa faktor.

Sementara itu, ratu trek negara Fatehah Mustapa membuktikan dia berada pada tahap kecergasan tinggi apabila meraih emas acara pecut wanita semalam.

Fatehah menewaskan rakan sepelatih di Melbourne, Australia, Farina Shawati Mohd Adnan yang meraih perak manakala gangsa dimenangi pelumba Ireland, Shanon McCurley.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2015 @ 8:37 AM