RUBLEV mara ke perlawanan akhir Terbuka Hamburg selepas mengalahkan Ruud di separuh akhir. FOTO AFP
RUBLEV mara ke perlawanan akhir Terbuka Hamburg selepas mengalahkan Ruud di separuh akhir. FOTO AFP
AFP

Hamburg: Pemain Russia, Andrey Rublev mara ke perlawanan akhir buat kali ketiga tahun ini selepas mencatat kemenangan 6-4, 6-2 ke atas Casper Ruud semalam di Terbuka Hamburg sekali gus menempah pertembungan akhir dengan wakil Greece, Stefanos Tsitsipas.

Rublev yang berusia 22 tahun, pemain ranking ke-14 dunia dan pilihan kelima di Hamburg, mencatat kemenangan kali ke-24 tahun ini dalam aksi selama 85 minit.

Hanya pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic, yang merekodkan 31-1, mencatat lebih banyak kemenangan musim ini.

Rublev, tumpas dalam perlawanan akhir tahun lalu kepada pemain dari Georgia, Nikoloz Basilashvili, akan menentang pilihan kedua, Tsitsipas.

Tsitsipas berjaya mencatat kemenangan 7-5, 3-6, 6-4 ketika berdepan pemain Chile, Cristian Garin.

"Ini kali pertama saya mara ke perlawanan akhir di di kejohanan yang sama dua tahun berturut-turut. Kejohanan ini sangat istimewa buat saya," katanya.

Rublev memulakan kempen 2020 dengan muncul juara di Doha dan Adelaide.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 3:10 PM