FEDERER (kiri) dan Nadal mungkin bertemu di separuh akhir Terbuka Perancis. -Foto Agensi
FEDERER (kiri) dan Nadal mungkin bertemu di separuh akhir Terbuka Perancis. -Foto Agensi
AFP

RAFAEL Nadal dan Roger Federer diundi dalam bahagian sama bagi Terbuka Perancis bermakna dua pemain bermusuh itu boleh bertemu pada separuh akhir.

Pilihan kedua, Nadal memburu kejuaraan ke-12 di Paris manakala juara 2009 Federer, pilihan ketiga, bermain pada kejohanan itu buat kali pertama sejak 2015.

Nadal bermula menentang pemain dari pusingan kelayakan bagi dua pusingan pertama manakala Federer, 37, yang membida untuk muncul juara tertua acara Grand Slam sepanjang zaman, berdepan pemain Itali, Lorenzo Sonego, pemain ranking ke-73.

Pilihan utama dan pemain nombor satu dunia Novak Djokovic memulakan kempennya menentang pemain Poland, Hubert Hurkacz, pemain nombor 43 dunia.

Djokovic, juara 2016, membida untuk muncul pemain lelaki kedua dalam sejarah untuk menyandang semua empat gelaran Grand Slam pada satu masa.

Hanya Rod Laver, yang mengungguli kalendar Slam pada 1962 dan 1969, pernah meraih pencapaian itu.

Jika tiada kejutan bagi suku akhir, pemenang 15 kejuaraan utama Djokovic akan berdepan pemain Jerman, Alexander Zverev yang belum pernah melepasi suku akhir acara Grand Slam.

Pilihan keempat Dominic Thiem, naib juara kepada Nadal tahun lalu, berdepan pilihan kelapan Juan Martin del Potro dari Argentina manakala Federer akan bertemu Stefanos Tsitsipas, pemain Greece yang mengejutkannya pada Terbuka Australia, Januari lalu.

Nadal, yang menang kejuaraan pertamanya tahun ini di Rome hujung minggu lalu mengalahkan Djokovic yang keletihan, dijadualkan bertembung dengan pemain Jepun, Kei Nishikori pada suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2019 @ 12:15 PM