Rafael Nadal. FOTO EPA
Rafael Nadal. FOTO EPA
AFP

KAPTEN Sepanyol, Sergi Bruguera berkata Rafael Nadal berada dalam kondisi terbaik dan mahu beraksi di kejohanan Piala Davis Final, walaupun pengecualian di ATP Final minggu ini.

Tuan rumah Sepanyol beraksi dalam perlawanan pertama mereka berdepan Russia di Madrid pada Selasa.

Nadal, 33, disingkirkan pada saingan kumpulan di London, namun mengekalkan ranking pemain nombor satu dunia penghujung tahun mengatasi Novak Djokovic.

Nadal yang diragui kecergasannya untuk acara penghujung musim di O2 Arena selepas menarik diri daripada Paris Master dengan kecederaan otot, tetapi berjaya bangkit dengan kemenangan ke atas Daniil Medvedev dan Stefanos Tsitsipas.

“Sebenarnya dia berada pada detik terbaik,” kata Bruguera menjelang kejohanan itu. “Dia berada dalam keadaan baik dan bersemangat untuk bertanding.”

Juara lima kali, Sepanyol diletakkan jadual undian sukar dalam Kumpulan B berdepan cabaran penyandang juara, Croatia dan Russia.

Bruguera berkata Sepanyol bukan pilihan untuk melepasi peringkat kumpulan.

“Dia atas gelanggang, saya tidak ingat bila kali terakhir Sepanyol tewas dalam pertembungan Piala Davis,” katanya.

“Tetapi keadaan permukaan gelanggang adalah masalah utama yang kami hadapi apabila beraksi jauh dari halaman sendiri. Kami mendapati ia lebih sukar.”

Croatia menjadi pasukan pilihan diketuai juara Terbuka AS, Marin Cilic dan Borna Coric dalam kejohanan membabitkan 18 pasukan manakala Russia bersandarkan kepada pemain nombor 17 dunia Karen Khachanov dan pemain yang bergelut dengan prestasi, Andrey Rublev.

Nadal akan menerima sokongan daripada pemain nombor dua Sepanyol, Roberto Bautista Agut, Pablo Carreno Busta, Feliciano Lopez dan Marcel Granollers.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 12:01 PM