Alexander Zverev. FOTO AFP
Alexander Zverev. FOTO AFP
AFP

Berlin: Alexander Zverev berada di landasan tepat untuk memenangi kejuaraan kedua ATP di Cologne dalam masa seminggu selepas memastikan kemenangan straight set ke atas pemain remaja Itali, Jannik Sinner pada aksi separuh akhir.

Zverev, 23, mengubat kekalahan awal bulan ini dalam saingan 16 terakhir Terbuka Perancis berdepan Sinner, 19, dengan melakukan 7-6 (7/3), 6-3 kemenangan ke atas peserta wildcard itu.

Kecederaan pinggul yang mengganggu prestasi Zverev, pemain ranking ketujuh dunia, berdepan pemain Perancis, Adrian Mannarino pada aksi suku akhir Jumaat lalu bukan alasan buat pemain Jerman mengatasi Sinner dalam masa satu jam 48 minit.

"Saya menjalani imbasan pagi ini," dedah Zverev, yang menantikan saat berdepan Sinner bagi menebus kekalahannya di Paris.

"Saya beraksi berdepan pemain yang pernah tewaskan saya di Roland Garros. Ia masih kekal dalam ingatan saya. Saya tidak akan tewas lagi hari ini."

Zverev membuktikan kecergasannya dengan melengkapkan mata kemenangan menerusi kekuatan servis pukulannya.

Bagaimanapun, dia terkejut dengan aksi Sinner, yang dia jangkakan akan memperbaiki kedudukan daripada ranking ke-46 tidak lama lagi.

"Dia adalah bintang yang bakal menyinar. Saya fikir dia akan menjadi 10 terbaik tidak lama lagi. Saya rasa dia akan bertanding untuk kejohanan besar dalam dunia," tambah Zverev.

Pada aksi final, Zverev akan berdepan pemain pilihan kedua dari Argentina, Diego Schwartzman yang menewaskan naib juara minggu lalu di Cologne, Felix Auger-Aliassime 6-4, 5-7, 6-4.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2020 @ 11:40 AM