PENJAGA gol New Zealand, Hayden Ganley gagal menepis jaringan gol penalti shoot-out pemain Afrika Selatan, Dan Neuhoff pada perlawanan hari ini. FOTO AIZUDDIN SAAD
PENJAGA gol New Zealand, Hayden Ganley gagal menepis jaringan gol penalti shoot-out pemain Afrika Selatan, Dan Neuhoff pada perlawanan hari ini. FOTO AIZUDDIN SAAD
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: New Zealand bakal membuat perhitungan dengan Malaysia pada penentuan 11/12, Jumaat ini selepas tewas menerusi penalti shoot-out 3-4 kepada Afrika Selatan pada perlawanan klasifikasi sembilan hingga 12 Piala Dunia Remaja, hari ini.

Afrika Selatan mempamerkan kebangkitan menakjubkan selepas ketinggalan 0-3 sebelum menyamakan kedudukan 3-3 untuk mengheret perlawanan ke penalti shoot-out.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional itu menyaksikan New Zealand mendahului dua jaringan pada separuh masa pertama menerusi jaringan padang Aiden Bax minit ke-11 sebelum Sam Lints menambah gol kedua selepas menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-13.

Bersambung babak kedua, James Hicakson semakin mengukuhkan kedudukan New Zealand apabila meledak gol ketiga minit ke-34.

Bagaimanapun Afrika Selatan kembali bangkit merapatkan jurang selepas memperolehi penalti stroke yang disempurnakan oleh Hans Neethling, juga minit ke-34.

Ayakha Mthalane kemudian menyumbang gol kedua Afrika Selatan menerusi pukulan sudut penalti minit ke-40 sebelum Neethling menjaringkan gol penyamaan minit ke-49 untuk mengheret perlawanan ke penalti shoot-out.

Dengan kemenangan itu, Afrika Selatan akan bertemu Belgium untuk klasifikasi 9/10, Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2023 @ 8:37 PM