AMIN (tengah) berkata ia proses pembelajaran untuk pemain dalam meneruskan karier mereka terutamanya bersama skuad senior. FOTO Bernama
AMIN (tengah) berkata ia proses pembelajaran untuk pemain dalam meneruskan karier mereka terutamanya bersama skuad senior. FOTO Bernama
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad hoki remaja negara, Muhamad Amin Rahim mengakui tidak pernah terlintas dalam fikirannya bahawa skuad bimbingannya menamatkan saingan Piala Dunia Remaja di tempat ke-12.

Ini kerana, secara peribadi beliau berasakan anak buahnya mampu menamatkan saingan dalam kelompok 10 terbaik selepas mengambil kira potensi yang ada pada barisan pemainnya.

Skuad Young Tigers menamatkan kempen di kedudukan itu daripada 16 pasukan bertanding apabila tewas kepada New Zealand menerusi penalti shoot-out 3-4 selepas kedua-dua pasukan seri 2-2 pada masa sebenar penentuan tempat ke-11/12, hari ini.

"Secara realitinya saya tak jangka langsung kita akan habis di nombor 12 sebab untuk saya, dengan potensi yang mereka ada, berada di kedudukan 10 terbaik adalah agak realistik.

"Sejujurnya untuk berada dalam kelompok lapan terbaik itu agak sukar tapi jika dari awal mereka bersungguh-sungguh dan mempunyai kemahuan yang tinggi, saya rasa tidak mustahil untuk dicapai.

"Selepas terkeluar daripada kelompok lapan teratas, kami nampak peluang agak cerah terutama sekali selepas menang dengan Mesir. Malah pada perlawanan dengan Belgium (klasifikasi 9 hingga 12), kita sepatutnya memenangi perlawanan itu.

"Namun akhirnya kita mengakhiri saingan di kedudukan ke-12. Agak sedikit kecewa tetapi itu keputusan yang pasukan perolehi ketika ini. Ia adalah proses pembelajaran untuk pemain dalam meneruskan karier mereka terutamanya bersama skuad senior," katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan.

Keputusan hari ini menyaksikan skuad negara bimbingan Amin menyamai pencapaian pada 2001 di Hobart, Australia serta 2009 ketika menjadi penganjur bersama di Johor Bahru dan Singapura.

The Young Tigers ketinggalan seawal minit ke-4 selepas New Zealand dihadiahkan pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Luke Aldred.

Bagaimanapun kelebihan dimiliki New Zealand itu tidak bertahan lama apabila Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari menolak masuk deras menewaskan penjaga gol lawan, Hayden Ganley pada minit ke-6.

Namun sekali lagi skuad negara ketinggalan tiga minit kemudian selepas Sam Lints menjaringkan gol padang untuk New Zealand minit ke-9.

Berbaki lima minit terakhir perlawanan, skuad negara terus memberi tekanan untuk mendapatkan gol penyamaan dan usaha mereka membuahkan hasil selepas Mohamad Shamir Rizmi Shamsul menjaringkan gol padang minit ke-57 untuk mengheret perlawanan ke penalti shoot-out.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2023 @ 7:30 PM