HARRIS setakat ini muncul penjaring terbanyak skuad negara. FOTO Aizuddin Saad
HARRIS setakat ini muncul penjaring terbanyak skuad negara. FOTO Aizuddin Saad
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Penyerang skuad remaja negara, Mohamad Harris Iskandar Osman masih belum puas untuk memburu gol di Piala Dunia Remaja kali ini dan mahu memastikan dapat menambah koleksi jaringan peribadi apabila bertemu New Zealand pada penentuan tempat ke-11/12, esok.

Harris setakat ini muncul penjaring terbanyak skuad negara dengan tiga gol dan satu daripadanya adalah apabila dia tenang menyempurnakan penalti stroke ketika bertemu Belgium pada aksi klasifikasi ke-9 hingga 12 semalam, yang juga jaringan penyamaan Malaysia untuk mengheret perlawanan ke penalti shoot-out.

Meskipun skuad negara tewas menerusi penalti shoot-out 3-5 pada perlawanan semalam, tahap keyakinan serta kematangan dipamerkan Harris memberi harapan untuk skuad negara membenam New Zealand, esok.

"Bagi saya untuk perlawanan dengan Belgium saya tak dapat berikan yang terbaik sebab ada beberapa peluang lagi untuk menjaringkan gol, tetapi saya tak dapat lakukannya.

"Saya memang tak berpuas hati dnegan prestasi diri saya. Insya-Allah untuk perlawanan seterusnya saya akan cuba dapatkan gol.

"Untuk jaringan penalti stroke itu memang saya sendiri yang mahu ambil tanggungjawab itu tetapi pada masa sama rasa berdebar. Alhamdulillah saya dapat fokus dan jaringkan gol," katanya.

Pemain berusia 18 tahun itu berkata, pada pertemuan dengan Belgium semalam, dia berasakan terlepas untuk menjaringkan antara empat hingga lima gol lagi.

Sementara itu, kapten skuad negara, Muhamad Faris Harizan menggesa rakan sepasukannya untuk mempamer aksi sama ketika bertemu Belgium apabila berdepan New Zealand esok.

"Kami akan lihat semula ulang tayang video perlawanan kami sendiri untuk kenal pasti apa kesilapan yang dilakukan. Kemudian kami akan perbaikinya apabila bertemu New Zealand," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2023 @ 12:32 PM