KAMARULZAMAN Kamaruddin (kanan) cuba melepasi pemain Afrika Selatan, Jared Campbell dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Dunia Remaja. FOTO FIH
KAMARULZAMAN Kamaruddin (kanan) cuba melepasi pemain Afrika Selatan, Jared Campbell dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Dunia Remaja. FOTO FIH
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Skuad hoki remaja negara berjaya melayakkan diri ke suku akhir Piala Dunia Remaja yang diadakan di Bhubaneswar, India selepas menang dalam aksi terakhir peringkat kumpulan dengan menumpaskan Afrika Selatan 4-3, sebentar tadi.

Kejayaan pemain remaja negara mara ke kelompok lapan terbaik memadam kekecewaan lima tahun lalu di Lucknow, India apabila gagal mara ke suku akhir dan hanya menduduki tempat ke-11 keseluruhan.

Bagaimanapun, Afrika Selatan yang dibimbing Sihle Ntuli memberi amaran awal kepada skuad hoki remaja negara, apabila memperoleh peluang awal untuk menjaringkan gol pada minit ketiga Trevor de Lora namun berjaya diselamatkan penjaga gol, Che Shahrul Azmi Che Saupi.

Tersentak dengan serangan awal pasukan lawan, anak buah Wallace Tan cuba melancarkan serangan di suku pertama dan kedua namun sering melakukan kesilapan kecil selain mempersia-siakan lima pukulan sudut penalti.

Pada minit ke-29 Malaysia berjaya memecahkan kebuntuan apabila Muhammad Fahmi Khalid berjaya menyempurnakan pukulan sudut penalti yang keenam untuk mengakhiri saingan separuh masa pertama dengan mendahului Afrika Selatan 1-0.

Bersambung babak kedua, ketua pasukan Afrika Selatan, Guy Morgan berjaya menyamakan kedudukan juga melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-34 yang menuju ke bahagian bawah sebelah kanan gawang negara.

Tujuh minit kemudian skuad negara sekali lagi berada di depan juga melalui pukulan sudut penalti kali ini disempurnakan Kamarulzaman Kamaruddin selepas berlaku keadaan kelam-kabut di hadapan pintu gol lawan.

Kelalaian pertahanan negara membiarkan Jared Campbell membawa padah apabila penyerang Afrika Selatan itu berjaya menjaringkan gol penyamaan melalui gol padang pada minit ke-48.

Walaupun hanya perlu keputusan seri untuk melayakkan diri ke suku akhir, namun pemain remaja negara tidak mengambil mudah malah berjaya memperoleh jaringan padang pertama di Piala Dunia Remaja seminit kemudian untuk mendahului 3-2.

Campbell sekali lagi menjadi duri dalam daging buat pasukan negara apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-54 namun ketua pasukan negara Mohamad Akhimullah Anuar Esook berjaya menyempurnakan pukulan sudut penalti dua minit kemudian untuk mengesahkan kemenangan Malaysia.

Ia adalah kemenangan kedua pasukan negara, selepas menumpaskan Chile 2-1 pada aksi sulung dan berjaya mengikat naib juara 2016, Belgium 1-1 semalam untuk menduduki dua pasukan teratas Kumpulan A.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 7:13 PM