ARUL memberi arahan kepada pemainnya ketika menentang Korea Selatan. FOTO MHC
ARUL memberi arahan kepada pemainnya ketika menentang Korea Selatan. FOTO MHC
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pengendali skuad hoki negara, Arul Selvaraj berharap barisan pemainnya dapat mempamerkan aksi konsisten pada perlawanan persahabatan kedua bertemu Korea Selatan, esok.

Pada aksi pertama siri Jelajah Korea semalam, Malaysian Tigers melakar keputusan seri 2-2 di Pusat Latihan Nasional Jingcheon.

Arul berkata, beliau dapat melihat kematangan yang dipamerkan oleh barisan pemainnya meskipun pada akhirnya melakar keputusan seri.

"Saya dapat lihat kematangan dan keyakinan pemain untuk menggerakkan permainan dan melakukan tekanan ke atas lawan. Mereka juga banyak mencipta peluang untuk menjaringkan gol.

"Apa yang lebih memberikan kepuasan kepada saya adalah melihat pemain mengambil tanggungjawab individu sepenuhnya. Kami akan melakukan penilaian individu dan mengadakan 'post match briefing' sebagai persiapan menghadapi perlawanan kedua," katanya.

Pada perlawanan semalam, Malaysia mendahului dua gol menerusi Muhammad Firhan Ashari pada minit ke-3 dan 19.

Bagaimanapun Korea Selatan bangkit mengikat kedudukan 2-2 menerusi pukulan sudut penalti dan penalti stroke masing-masing pada minit ke-22 serta 29.

Siri Jelajah Korea Selatan adalah persiapan terakhir sebelum skuad negara beraksi pada saingan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) pada 3 hingga 12 Ogos sebelum tampil di pentas Sukan Asia Hangzhou sebulan selepas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2023 @ 6:59 PM