PASUKAN bola tampar wanita UTM menewaskan Kolej INTI pada perlawanan akhir.
PASUKAN bola tampar wanita UTM menewaskan Kolej INTI pada perlawanan akhir.
Oleh Redzuan Muharam

Johor Bahru: Peluang beraksi di laman sendiri dimanfaatkan pasukan bola tampar wanita Universiti Teknologi Malaysia (UTM) apabila mereka mempertahankan pingat emas buat kali ketiga berturut-turut pada temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT), semalam.

Pasukan yang dianggotai 12 pemain itu meraih kemenangan selepas menewaskan lawan mereka Kolej INTI 25-16, 25-19, 28-26.

Manakala pingat gangsa acara itu menjadi milik Universiti Putra Malaysia (UPM).

Kapten Ho Xiao Hui berkata, dia gembira kerana dapat mengekalkan status juara dalam acara berkenaan sekali gus menghadiahkan pingat emas kedua buat kontinjen pada hari kelapan temasya.

Xiao Hui yang menyertai acara berkenaan sejak temasya edisi pertama pada 2012 turut memuji kesungguhan rakan sepasukannya yang mempamerkan permainan bertenaga hingga wisel penamat walaupun ketinggalan pada awal set terakhir.

“Set ketiga paling mencabar buat kami apabila ketinggalan 19-24 tapi sikap tenang semua ahli pasukan membantu kami mengejar mata demi mata sekali gus mendahului mereka hingga tamat permainan.

“Pengalaman beraksi pada temasya edisi terdahulu agak memberi kelebihan, namun latihan konsisten setiap minggu turut membantu kami mencapai kejayaan ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan Naib Canselor UTM Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar di Kompleks Sukan UTM, di sini semalam.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni) Prof Dr Mohd Ismail Abd Aziz.

Sementara itu, jurulatih Franco Liu berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi dan corak permainan anak buahnya pada perlawanan akhir.

“Kami sepatutnya boleh menang mudah selepas menyingkirkan pesaing utama iaitu UPM, namun skuad bimbingan saya mungkin bermain agak selesa selepas menewaskan pasukan berkenaan.

“Namun prestasi mereka tidak menghampakan dan saya harap pasukan ini dapat mengekalkan gelaran juara pada edisi akan datang walaupun akan kehilangan lima pemain yang bakal menamatkan pengajian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2016 @ 7:10 AM