SEAN Yee melepasi palang ketika menyertai acara lompat tinggi wanita dan mencatat lompatan  1.75 meter.
SEAN Yee melepasi palang ketika menyertai acara lompat tinggi wanita dan mencatat lompatan 1.75 meter.
Oleh Redzuan Muharam

Johor Bahru: Lompatan setinggi 1.75 meter memadai buat Yap Sean Yee, 21, membawa pulang pingat emas sekali gus menceriakan kem olahraga Universiti Putra Malaysia (UPM) pada hari ketujuh temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT), semalam.

Lebih manis lagi apabila penuntut tahun pertama jurusan Pembangunan Sumber Manusia dan Teknologi Maklumat itu bukan saja menyumbang pingat buat kontinjennya malah mencipta sejarah dengan memadam rekod lama 1.66 meter yang dicipta rakan sekampusnya, Norliyana Kamaruddin pada edisi pertama SUKIPT.

Pingat perak menjadi milik Nadia Anggraini dari State University of Jakarta dengan lompatan setinggi 1.70 meter manakala gangsa dimenangi atlet Universiti Help, Nurul Falena Gunasekera dengan catatan 1.51 meter.

Sean Yee mengakui gembira kerana mencapai sasaran untuk memecahkan rekod pada temasya yang julung kali disertainya itu.

Pemenang pingat emas dalam dua edisi Sukan Malaysia (SUKMA) terdahulu itu berkata, kemenangan itu menjadikannya lebih bersemangat untuk bersaing pada kejohanan dalam dan luar negara pada masa akan datang.

“Catatan terbaik saya adalah 1.79m yang dicipta di Kejohanan Terbuka Pahang pada April 2015 namun hanya menyasarkan lompatan setinggi 1.75 meter saja di temasya ini.

“Mujurlah sasaran itu tercapai dan saya kira ia permulaan yang baik untuk tahun ini,” katanya yang ditemui di Stadium Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, di sini selepas selesai pusingan akhir acara lompat tinggi kategori wanita.

Sean Yee berkata, dia berazam mencatat rekod antara 1.78 hingga 1.80 meter pada Sukan Dalam Dewan Asia di Doha bulan ini.

“Kalau boleh, saya mahu memperbaki prestasi dan rekod peribadi yang dicipta sejak menceburi sukan ini pada 2011.

“Saya yakin ia tidak mustahil jika melakukan latihan secara konsisten,” katanya yang pernah mewakili negara pada Sukan Komanwel Glasgow 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2016 @ 6:35 AM