SKUAD ragbi tujuh sebelah yang mengibarkan cabaran UPM di SUKIPT. FOTO Ihsan UPM
SKUAD ragbi tujuh sebelah yang mengibarkan cabaran UPM di SUKIPT. FOTO Ihsan UPM
Oleh Affan Rostam


Tanjung Malim: Di atas kertas nyata kelebihan berpihak kepada pasukan ragbi Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk meraih emas dalam Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022.

Ini kerana, mereka memiliki sembilan pemain yang mewakili negara dalam Sukan Komanwel Birmingham 2022 baru-baru ini dan ditambah pula dengan kemenangan besar ke atas Universiti Selangor (Unisel) 41-0 dalam perlawanan peringkat kumpulan pagi tadi.

Bagaimanapun, jurulatihnya Mohamad Nazeer Nesharah mengakui kelebihan yang dimiliki itu sedikit sebanyak memberi tekanan kepada pasukannya dan mahu pemain untuk terus fokus pada setiap perlawanan.

"Itu sememangnya tekanan bagi pemain itu sendiri kerana mereka sedar ada tanggungjawab besar dan mereka pun membawa nama sebagai pemain Malaysia sebagaimana orang lain kenal.

"Saya pun ada berbincang dengan pemain di mana tekanan itu kita akan tukar kepada perkara yang lebih positif. Itulah yang kami buat dalam usaha meraih emas kali ini.

"Saya juga ambil itu sebagai kelebihan memandangkan mereka ada pengalaman bermain di peringkat antarabangsa. Namun, saya sentiasa mengingatkan pemain agar tidak mengambil mudah dalam setiap perlawanan," katanya.

Jelas Nazeer, kali ini mereka bertekad untuk merampas kembali takhta juara ragbi tujuh sebelah SUKIPT yang dimenangi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada edisi lalu.

"Sememangnya kami sasarkan untuk mendapatkan emas. Bagaimanapun, kami tidak mengambil mudah saingan daripada pasukan lain.

"Ini kerana, pada temasya sebelum ini pun kami tidak dapat mempertahankan kejuaraan. Jadi, saya punya motivasi kepada pemain lebih untuk merampas kembali kejuaraan dalam acara ini," katanya.

Pasukan ragbi UPM dijadual bertemu pasukan dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan petang ini di Padang Istiadat Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Acara ragbi tujuh sebelah yang dipertandingkan dalam temasya SUKIPT edisi ke-5 kali ini disertai sebanyak 25 universiti dari seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2022 @ 1:25 PM